Baitul Maqdis: NGO M’sia sertai solidariti mega di Turki

- Advertisement -
ISTANBUL, Turki: Delegasi NGO Islam Malaysia antara menyertai himpunan yang menegaskan bahawa Al-Quds adalah hak mutlak umat Islam dan mengutuk sekerasnya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.
 
Himpunan besar disertai ratusan ribu umat dan dianjurkan oleh Kesatuan NGO-NGO Turki yang bernaung bersama Parti Sa’adat itu telah berlangsung di pinggir Laut Marmara di Yenikapi Meydani, di sini kelmarin.
 
Golongan muda mudi antara teramai hadir pada himpunan tersebut yang menyaksikan ucaptama disampaikan Presiden Parti Sa’adat, Dr Temel Karamollaoğlu dan bergemanya laungan kuat “Jahanam Amerika, Jahanam Zionis!”.
 
Malah, himpunan tersebut juga diwarnai dengan kibaran bendera kebangsaan Turki dan Palestin selain sepanduk-sepanduk yang menyatakan solidariti Turki untuk bersama seluruh rakyat Palestin mempertahankan bumi anbiya’ itu serta membebaskan Baitul Maqdis.
 
Delegasi NGO Islam Malaysia itu diwakili Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Kubra, Yayasan Afdlin Shauki serta para pimpinan dan sukarelawan masing-masing.
 
Menurut Naib Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, suasana perhimpunan yang sangat aman dan tertib itu membuktikan bahawa gabungan NGO Parti Sa’adat sangat tersusun dalam pengurusannya. – HARAKAHDAILY 12/12/2017
- Advertisement -