Kertas Putih Memali penuh pembohongan

BALING: Tibalah masanya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan agar siasatan terperinci dibuat berkenaan tragedi berdarah Memali, terutama yang terkandung di dalam Kertas Putih berkenaan kejadian itu. 
 
Pengerusi Jawatankuasa Khas Memali, Dato’ Muhammad Yusuf Husin berkata, selain menangkis untuk membuktikan perkara yang terkandung di dalam Kertas Putih itu tidak benar, ia juga bertujuan untuk membersihkan nama As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud kerana dituduh sebagai pembawa ajaran sesat. 
 
Katanya, RCI ditubuhkan untuk mendapatkan keadilan serta hak-hak sewajarnya terhadap para balu dan keluarga syuhada selain semua mangsa tahanan peristiwa Memali 32 tahun lalu. 
 
Jelasnya lagi, intipati yang terkandung di dalam Kertas Putih 79 perenggan itu banyak mengaitkan nama beliau, selain 20 perenggan dihasilkan melalui soal siasat terhadap 169 tahanan kejadian tersebut. 
 
Sambil menyifatkan hasil kandungan itu tidak ubah seperti Polis India menyoal pesalah di dalam filem-filem Tamil, bidasnya kebanyakan hasil siasatan memaparkan bukti yang dangkal dan tidak munasabah.
 
“Sebab itu, perlunya satu siasatan dibuat untuk membuktikan pertuduhan di dalam Kertas Putih ini tidak benar, lebih-lebih lagi yang melibatkan kematian empat anggota polis.
 
“Di perenggan 59, ditulis di situ pertempuran itu dimulakan apabila orang kampung menembak anggota polis sehingga menyebabkan berlaku kematian empat dari anggota mereka.
 
“Namun setakat ini, bukti kematian anggota polis itu akibat peluru M16, sedangkan orang kampung hanya memiliki senapang patah,” ujar beliau. 
 
Selain itu tambah beliau lagi, dalam perenggan 69 tertulis, semua yang terlibat diugut bunuh andainya melarikan diri atau tidak melawan serangan anggota polis, namun
tidak menyatakan pihak yang memberi arahan berkenaan.
 
Dato’ Yusuf juga beranggapan, 79 perenggan itu umpama skrip yang dicipta khas untuk dibentangkan di Parlimen sebagai menghalalkan tindakan membunuh As-Syahid Ustaz
Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya serta sebagai lesen untuk menuduh mereka itu adalah pengganas.
 
Sewajarnya ujar beliau, apabila RCI itu menjadi kenyataan, semua yang terlibat akan disoal siasat untuk membuktikan kebenaran peristiwa bersejarah ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2017