Hukum membela biawak di dalam rumah

- Advertisement -

DALAM perkara ini, kami berpandangan bahawa dilarang untuk memelihara biawak bagi umat Islam di dalam rumah di atas dasar menutup mafsadah yang ada.

- Advertisement -

Sekalipun haiwan ini tidak disebut di dalam hadis Nabi SAW dengan jelas sepertimana lima jenis haiwan yang lain, namun sifat semula jadi biawak yang sama dengan haiwan yang dinyatakan di dalam hadis menjadikan biawak tergolong dalam haiwan perosak.

Demikian jawapan dipetik daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi ruangan Al-Kafili Al-Fatawi yang ditulis oleh Muhammad Mushfique Ahmad Ayoup @ Ayub yang diterbitkan semalam berhubung hukum memelihara biawak di dalam rumah, sebagaimana di bawah.

SOALAN

Apakah hukum membela biawak di dalam rumah sebagai haiwan peliharaan?

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Membela sesuatu binatang untuk dijadikan haiwan peliharaan adalah dibolehkan di dalam Islam selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti khinzir dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadis Nabi SAW yang berikut:

Daripada Anas bin Malik R.Anhuma berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ – قَالَ: أَحْسِبُهُ – فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.” [Riwayat al-Bukhari (6203)]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa dibolehkan untuk memelihara atau bermain-main dengan haiwan-haiwan yang diharuskan syara’ dengannya. Imam Abu Syuja mengungkap dalam dalam Matan al-Ghayah wa al-Taqrib:

وَنَفَقَة الرَّقِيق والبهائم وَاجِبَة

Maksudnya: “Dan bermula nafkah kepada hamba dan bahimah (haiwan ternakan) itu adalah wajib.”

Imam al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azraie. Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Rujuk Kitab al-Iqna`, 2/482)

Namun begitu, dalam satu hadis Nabi SAW ada mengatakan berkaitan haiwan yang disunatkan untuk dibunuh disebabkan oleh tabiat semula jadi haiwan tersebut. Perkara ini jelas berdasarkan hadis berikut:

Daripada ‘Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

خَمْسُ فَوَاسِقَ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ الْغُرَابُ وَالْحِدَأَةُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ وَالْعَقْرَبُ وَالْفَأْرَةُ

Maksudnya : Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun di dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung ‘kite’ (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas. [Riwayat Muslim (1198)]

Al-Imam Malik Rahimahullah mengatakan bahawa makna bagi hadis di atas adalah kerana keadaan serta tabiat khams fawasiq tersebut adalah mendatangkan gangguan, membahayakan dan juga memudaratkan maka dibolehkan untuk dibunuh bagi mereka yang berihram. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/114)

Biawak yang bersifat ganas serta mengancam haiwan ternakan manusia menjadikan ia (biawak) termasuk dalam kategori seperti yang disebutkan di dalam hadis di atas. Di samping biawak juga memakan makanan yang jijik seperti bangkai menjadikannya tidak sesuai untuk dipelihara oleh umat Islam di dalam rumah kerana agama Islam amat mementingkan isu kebersihan. Sifat biawak ini adalah sama dengan sifat burung helang yang disunatkan untuk dibunuh berdasarkan tafsir hadis di atas.

KESIMPULAN

Dalam perkara ini, kami berpandangan bahawa dilarang untuk memelihara biawak bagi umat Islam di dalam rumah di atas dasar menutup mafsadah yang ada. Sekalipun haiwan ini tidak disebut di dalam hadis Nabi SAW dengan jelas sepertimana lima jenis haiwan yang lain, namun sifat semula jadi biawak yang sama dengan haiwan yang dinyatakan di dalam hadis menjadikan biawak tergolong dalam haiwan perosak di atas.

Berkaitan isu kebersihan pula, biawak ialah haiwan yang memakan benda-benda yang kotor serta jijik turut menjadikan haiwan tersebut tidak sesuai untuk dipelihara di dalam rumah umat Islam. Ini kerana, implikasi daripada kesan kotor haiwan tersebut akan membawa kepada kesempurnaan sesuatu ibadat kepada Allah SWT. Oleh itu, memelihara haiwan seperti ini dilihat lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada pemelihara tersebut. Justeru, kepada mana-mana pemelihara disarankan untuk memelihara haiwan yang lebih mesra sifatnya kepada manusia serta tidak membawa kesan negatif kepada tuannya.

Wallahua’lam

- Advertisement -