RCI Memali untuk bersihkan penyelewengan fakta

- Advertisement -
BALING: PAS setiap peringkat menyokong penuh hasrat penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan kes Memali yang berlaku pada 19 November 1985 dahulu, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Memali, Dato’ Muhammad Yusuf Husin.
 
Kata beliau, sudah tiba masanya RCI ditubuhkan, selain membersihkan nama As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud, ia juga untuk membuktikan pertuduhan yang terdapat di dalam Kertas Putih disediakan pihak berkuasa tidak logik dan tidak benar sama sekali.
 
Antaranya menyebut kenyataan bahawa ayah As-Syahid telah menyuruh beliau sebanyak 20 kali Jumaat agar menyerah diri kepada polis, adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku. 
 
“Ia direka semata-mata untuk membuktikan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud membawa ajaran sesat yang tidak direstui oleh keluarganya sendiri.
 
“Disamping itu, Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri dan Tun Musa Hitam yang bertanggungjawab sepenuhnya membentangkan Kertas Putih berkenaan juga harus bertanggungjawab dalam kes ini,” ujar beliau.
 
Jelasnya lagi, di dalam kenyataan bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tengku Muzaffar dalam bukunya ‘Kenangan Memali’ memaklumkan, pihak polis menerima arahan dari ‘Political Master’ supaya bertindak terhadap Ustaz Ibrahim atas pertuduhan sebagai anasir subversif (komunis).
 
Justeru itu maklumnya, seramai 3,600 anggota polis telah berkumpul di Kem Polis Hutan di Sungai Petani dalam Operasi Angkara atas tujuan berkenaan. 
 
“Kenyataan itu membuktikan maklumat yang diterima oleh pihak polis tidak benar dan dibuat atas dasar dendam politik parti tertentu,” kata beliau. 
 
Yusuf juga menjelaskan, beliau merupakan salah seorang dari tiga individu yang diarahkan untuk dibunuh pada hari kejadian, selain Ustaz Ibrahim Mahmud dan Ahmad Hassan, namun beliau terselamat.
 
Sehubungan itu, maklumat disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamed di dalam rancangan ‘Nothing To Hide’ baru-baru ini sememangnya merujuk kepada pernyataan di Kertas Putih tersebut yang mungkin untuk mengelak dirinya dari dipersalahkan. 
 
Sementara itu, PAS Kedah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas di mana di peringkat negeri dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya, Muhammad Sanusi Md Nor. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
- Advertisement -