Hubungan kerajaan negeri – KAFA makin positif

- Advertisement -

KERJASAMA antara Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) dengan kerajaan negeri  dilihat semakin positif selepas berlangsungnya pertemuan antara kedua-dua pihak baru-baru ini.

- Advertisement -

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengaktifkan semula jawatankuasa bersama bagi mengambalikan semula kegemilangan skuad bola sepak Kelantan atau The Red Warrior (TRW) selain melantik Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah sebagai pengerusi.

Dalam perkembangan itu, Abdul Fattah selepas pertemuan yang turut dihadiri Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Ahmad Yakob berkata, pihaknya bersedia untuk meneliti keperluan badan induk tersebut.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Abdul Fattah turut mengumumkan pengurangan bayaran levi stadium kepada KAFA selain mempertimbangkan beberapa langkah lagi yang dicadangkan.

Kata beliau, masalah kewangan menjadi punca utama kemelut yang berlaku dalam KAFA kerana kos pengurusan pasukan yang sangat tinggi.

“Kerajaan negeri memberi sokongan sepenuhnya membantu KAFA memperkuatkan kembali pasukan Kelantan dan kembali berdaya saing pada musim hadapan.

“Menteri Besar turut meletakkan sasaran pasukan Kelantan kembali berada di puncak liga,” katanya selepas pertemuan antara kedua-dua pihak selama hampir satu jam di Kompleks Kerajaan Negeri Kota Darul Naim, Kota Bharu, 22 Oktober lalu.

Hadir sama pada tertemuan itu Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah; Naib Presiden, Nik Pakheruddin Nik Abd Kadir; Setiausaha Agungnya, Hussin Deraman dan Setiausaha PSK, Azi Rahimee Mohamed.

Beberapa tahun lalu usaha mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dengan KAFA untuk tujuan yang sama pernah dilakukan, bagaimanapun tiada perkembangan positif dapat dilihat selepas itu.

Awal 2016, satu pertemuan antara kedua-dua pihak juga telah dirancang namun terpaksa ditangguhkan ekoran tumpuan kerajaan negeri ketika itu untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku.

Sementara itu, Bibi Ramjani ketika mengulas perbincangan pihaknya dengan kerajaan negeri menyambut baik cadangan untuk mengaktifkan semula jawatankuasa khas antara kerajaan negeri dengan KAFA yang terhenti sebelum ini.

Kata beliau, jawatankuasa khas itu wajar dibentuk demi untuk kepentingan bola sepak di negeri itu.

“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Kak Bi.

“Walaupun sebagai orang baru di dalam Kafa, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama demi kelangsungan bola sepak pada masa hadapan,” ujarnya kepada media sempena majlis santai bersama media di sebuah hotel di sini.

Menurut Bibi, pihaknya merancang menjadikan TRW kembali gemilang seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun kita memerlukan sokongan semua pihak termasuk rakyat Kelantan sendiri supaya tidak pernah jemu untuk memberi semangat kepada para pemain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, TRW kini berada dalam situasi kritikal untuk terus kekal dalam persaingan Liga Super musim depan.

Selain perlu menang dalam perlawanan terakhir menentang Melaka 28 Oktober ini, TRW juga terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan antara Serawak dan T-Team yang turut bergelut untuk menempatkan diri sebagai salah satu daripada 10 pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super.

Kelantan kini berada dikedudukan ke-11 dengan 19 mata iaitu berbeza tiga mata dengan T-Team yang menduduki tangga ke-9 dan kurang satu mata dengan Sarawak yang menduduki tangga ke-10. – HARAKAH 25/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -