Haramkan plumbum dalam produk untuk bendung keracunan

- Advertisement -

PLUMBUM merupakan bahan toksik kumulatif yang boleh menjejaskan pelbagai sistem dalam tubuh. Ia khususnya beracun kepada kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang terdedah kepadanya. Di antara beberapa kesan akibat pendedahan kepada bahan ini termasuklah kesukaran untuk belajar, semakin enggan bergaul dengan orang lain, kesuburan menurun dan meningkatkan risiko masalah ginjal serta penyakit kardiovaskular di kemudian hari.

- Advertisement -

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengiktiraf 22-28 Oktober 2017 sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa. Tumpuan utamanya ialah peranan pendedahan kepada plumbum dalam perkembangan ketidakupayaan intelek kanak-kanak.

Kesan pendedahan plumbum kepada otak kanak-kanak adalah berpanjangan, tidak dapat dibalikkan dan sukar dirawat. Plumbum juga memasuki saluran gastrousus apabila kanak-kanak mengunyah atau menggigit benda seperti barang mainan, perabot dalam rumah atau benda-benda lain yang dicat dengan cat plumbum. Penggunaan cat plumbum yang berterusan menjadi penyebab utama pendedahan kanak-kanak kepadanya. Sehubungan itu langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan sumber-sumber yang mendedahkan plumbum kepada kanak-kanak.

Pada awal 2016, CAP menguji cat dan mendapati lebih daripada 60% sampel yang diuji mengandungi paras plumbum yang tinggi. Sudah lebih setahun sejak ia diluluskan namun pihak berkuasa Malaysia masih belum memperkenalkan undang-undang mengenai plumbum dalam cat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap cat plumbum “tahap ledakan utama” bagi potensi kanak-kanak mengalami keracunan plumbum dan berkata bahawa “sejak pengeluaran berperingkat-peringkat petrol berplumbum, cat plumbum menjadi sumber pendedahan terbesar  kanak-kanak kepada plumbum.” Kanak-kanak terdedah kepada plumbum apabila permukaan bercat mengelupas selepas beberapa lama dan mencemari habuk dan tanah isirumah. Kanak-kanak yang berumur antara 0-6 tahun, yang sering memasukkan tangan ke dalam mulut paling cenderung terjejas kepintaran dan perkembangan mental mereka akibat terdedah kepada habuk dan tanah berplumbum.

Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Jabatan Kawalan Bahan Toksik (DTSC) di California mendapati barang kemas untuk orang dewasa dan kanak-kanak mengandungi plumbum pada paras yang tinggi dalam satu atau lebih komponen sesuatu barangan. Sesetengah barangan yang diuji secara praktiknya diperbuat daripada plumbum.

Dalam satu tinjauan pula CAP mendapati barangan sama dijual secara berleluasa di pasaran. Barangan ini cukup popular dalam kalangan kanak-kanak kerana warnanya yang menarik dengan dihiasi watak kartun. Harganya ialah antara RM1.00 hingga RM3.00 mudah dibeli oleh kanak-kanak.

Sementara itu masyarakat kaum India di Malaysia sering menggunakan ‘Sindoor’, serbuk berwarna merah terang yang digunakan dalam upacara keagamaan dan kebudayaan. Sindoor dipakai oleh wanita yang memakai bindi atau titik merah pada bahagian tengah antara mata mereka untuk tujuan kosmetik. Lelaki dan kanak-kanak Hindu juga memakainya untuk tujuan keagamaan. Ujian yang dijalankan di AS mendapati paras plumbum yang tinggi dalam sindoor. Sesetengah pengeluar menggunakan plumbum tetroxide untuk memberikan warna merah yang terang dan cantik.

Daripada 118 sampel sindoor yang diuji, 95 daripadanya adalah dari stor Asia Selatan di New Jersey. 23 sampel lagi diperolehi dari kedai-kedai di Mumbai dan New Delhi di India. Secara keseluruhan kira-kira 80 peratus sampel mengandungi sekurang-kurangnya sedikit plumbum, sementara sepertiga mengandungi plumbum pada paras yang melebihi had ketetapan Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS.

Sehubungan dengan bahaya pendedahan kepada plumbum, CAP menggesa pihak berkuasa agar:

– Mengharamkan plumbum dalam produk;
– Menguji produk yang didapati mengandungi plumbum pada paras yang tinggi;
– Mengadakan kempen untuk mewujudkan kesedaran mengenai bahaya plumbum.

Jika tidak diharamkan, Malaysia akan menjadi tempat longgokan produk dengan kandungan plumbum yang tinggi, yang sebaliknya telah ditolak oleh negara-negara lain.

Memandangkan plumbum boleh memudaratkan kanak-kanak, tindakan segera adalah perlu untuk melindungi generasi masa depan kita.

S M Mohamed Idris
Presiden Consumers Association of Penang (CAP) – HARAKAHDAILY 25/10/2017

- Advertisement -