Ahok, Zakir Naik, Turki…apa PAS mahu?

- Advertisement -

SEMINGGU ini, dengan tiga perkara utama seperti tajuk di atas, telah menarik perhatian dunia. Ketiga-tiganya menjadikan keadaan terutamanya di sebelah Asia ini agak panas kerana walaupun kelihatan ianya tidak berkait secara langsung dengan PAS, namun di sebalik semua itu sebenarnya ada kaitan. Suka saya mengajak pembaca bersama menilai kaitan ketiga-tiga perkara penting ini.

- Advertisement -

Anies SandiAhok

Indonesia, adalah sebuah negara umat Islam yang paling ramai warganya beragama Islam. Kira-kira 90 peratus daripada 300 juta penduduknya adalah dari kalangan muslim. Apa yang menarik, hampir sama keadaannya seperti di Malaysia iaitu kira-kira 80-90 peratus kekuatan ekonomi dipegang oleh bangsa lain. Riuh beberapa bulan lalu, ketika kemuncak kempen Pemilihan Gubenur (Pilgub) bagi daerah Jakarta, seorang calon yang disokong oleh Presiden Jokowi, yang digelar Ahok, berbangsa Cina telah membuat onar dengan secara jelas menghina ayat al-Quran.

Akibat daripada itu, majoriti orang Islam, membantah Ahok dengan membuat himpunan di tengah-tengah kota Jakarta dengan jutaan orang dilaporkan hadir. Setelah beberapa siri bantahan dibuat, beliau akhirnya dibawa ke muka pengadilan. Aneh kata teman saya dari Indonesia, walaupun Ahok menghina Islam, pada pusingan pertama, Ahok menang, tetapi tidak mencapai 50 peratus.

Pada pusingan kedua, ketika kempen, Ahok telah disokong oleh Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) iaitu parti mantan Presiden Indonesia, allahyarham Abdul Rahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur. PKB yang dahulunya mendakwa memperjuangkan Islam, akhirnya layu di kaki Ahok, atas dasar liberal iaitu demi sebuah ‘kemajuan’. Begitu juga dengan sebuah lagi parti yang mengaku Islam yang berlambangkan Kaabah iaitu Parti Persatuan Pembangunan (PPP).  Ini kerana bagi mereka, Ahok boleh memberikan pembangunan kepada rakyat Jakarta. Itulah justifikasi mereka. Bagaikan sama sikap ini dengan beberapa buah parti di Malaysia. Takut kepada bangsa lain yang menguasai ekonomi?

PAS dengan tegasnya berdiri menyeru dari seberang Tanah Melayu ini, agar rakyat Jakarta tidak menyokong Ahok, senada dengan Habib Riziq, ulama dari Front Pembela Islam (FPI) yang berjaya menghimpunkan jutaan manusia bagi menentang Ahok. Ketegasan PAS bukan bermakna mencampuri urusan Indonesia, tetapi sebagai memberi ingat agar penentang Islam, tidak diberi muka walau siapapun mereka. Alhamdulillah, Ahok jatuh tersungkur.

Anies Daswedan, lawan yang mengalahkan Ahok, bukanlah seorang ulama, mahupun dari parti Islam. Beliau tiada berparti, disokong Probowo dari parti Gerindra. Turut menyokong, sebuah parti Islam iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Jelas pendekatan mengambil mudharat yang kecil bagi mengelak mudharat yang lebih besar, diperlukan di sini setelah Ahok secara terang menghina Islam. Mungkin juga Anies tidak bagus, lalu Presiden PAS pada ucapan tahniahnya, menasihatkan Anies menjalankan tugasnya dengan adil. Islam buat masa ini dilihat oleh pembencinya, dibela oleh orang Islam.

zakir nZakir Naik

Apabila kerajaan India pimpinan Narendra Modi dari parti BJP iaitu sebuah parti ekstremis Hindu, mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan kepada Zakir Naik, beberapa orang Malaysia mempertahankan Zakir Naik. Ini kerana pertuduhan beliau menganjurkan keganasan dan pengubahan wang haram itu bagaikan direka bagi menghalang Zakir yang sering melalui ceramahnya, menarik bukan Islam untuk menerima Islam. Zakir sehingga kini masih selamat berada di Malaysia.

Tidak ketinggalan golongan ekstremis Hindu yang berada di Malaysia seperti Hindraf, melaung-laungkan agar Zakir Naik diserahkan kepada kerajaan India. Mengapi-apikan sentimen agama di sini. Mungkin kerana tidak tahan, ada orang Islam yang bertindak menghina agama lain untuk tujuan mempertahankan Zakir. Tetapi penghinaan itu kemudiannya dipadamkan dari FB mereka.

PAS juga tidak ketinggalan mempertahankan Zakir melalui Ketua Penerangan Dewan Ulamaknya dan Ketua Penerangannya. Tetapi tidaklah sehingga menghina agama lain. Apabila isu sudah menjadi merebak sehinggakan ada campur tangan daripada menteri yang beragama Hindu, PAS bangun lagi memberikan amaran agar menteri itu tidak melampaui batas mencampuri urusan agama Islam dan hal berkaitan pemberian status PR kepada Zakir Naik. Berbantah mesti ada hadnya.

Walaupun Dr Asri bukanlah penyokong PAS, malah beliau sudah banyak kali berkonfrantasi dengan PAS terutama dalam isu hudud semenjak zaman TGNA lagi, tetapi PAS bangun bersama beliau demi Islam. PAS tidak mencari-cari perkara cabang seperti amalan bidaah atau sewaktu dengannya untuk memberi alasan bagi membiarkan Dr Asri terkial-kial keseorangan. PAS hanya fokus pada isu utama.

Perbalahan peribadi diketepikan, agar Islam tidak dipermudahkan oleh penganut agama lain. Malah Umno, yang sepatutnya menasihatkan menteri mereka itu daripada mencampuri urusan orang Islam, sebaliknya memilih mengkritik Dr Asri. Tertanya-tanya juga kita dengan beberapa tokoh agama yang istiqamah ingin berdebat membantah cadangan pindaan RUU355 tempoh hari. Di mana mereka? Mana kenyataan mereka mengecam Hindraf dan sekutunya? Atau paling kurang laporan polis?

Beberapa buah lagi parti yang mengaku Islam, tidak boleh diharap, bagaikan tikus jatuh dalam kepuk padi. Diam membisu. Mungkin kerana tuan besar mereka sedang menjeling mereka. Tumpuan mereka kepada pasar malam yang dihentikan bagi memberi ruang kepada solat Maghrib. Bukan Islam tak bantah, dia yang sibuk. Satu parti sedang menghadapi proses keluar ahli beramai-ramai. Ada parti yang sedang resah menunggu keputusan muktamar berkaitan tahaluf dan siasatan kekayaan ahli mereka.

doganTurki

Turki yang baharu sahaja merayakan kemenangan tipis Erdogan dalam referendum bagi memberikan Presiden kuasa penuh bagi mentadbir negara, turut diberikan ucapan tahniah oleh PAS. Walaupun jelas Erdogan dari parti AKP itu, bukanlah teman politik PAS secara rasmi. Parti Saadat yang pernah dipimpin oleh Erbakan, yang dahulu dikenali sebagai parti Refah adalah musuh kepada AKP secara politiknya tetapi teman akrab PAS. – HARAKAHDAILY 25/4/2017

(bersambung)

Mohd Nasir
Al-Khor, Qatar

- Advertisement -