Amal Serdang terus berbakti di Dabong

- Advertisement -

WALAUPUN sudah lebih 2 tahun peristiwa banjir besar melanda Negeri Kelantan, Jabatan Amal Malaysia Kawasan Serdang (Amal Serdang) di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang (DPPKS) terus menjalankan program kebajikan kepada masyarakat di Dabong, Kelantan.

- Advertisement -

Terbaharu, kelmarin Amal Serdang melalui misi “A Day For Charity” meneruskan program bantuan makanan bersama Penyelia PAS Dun Dabong, Ku Zaki Ku Hussin. Turut serta dalam misi kali ini ialah pelakon dan selebriti terkenal tanah air, Mustafa Kamal.

Misi kali ini telah mensasarkan sebanyak 70 keluarga yang tinggal di persisiran Sungai Kelantan di kawasan Dun Dabong. Misi ini melibatkan lebih 25 sukarelawan dan 9 buah bot yang membawa beras dan bekalan makanan kering.

“Walaupun jauh di pedalaman, pihak kerajaan Kelantan tidak pernah mengabaikan masyarakat di sini tanpa mengira latar belakang politik,” ujar Ku Zaki yang lebih mesra di kalangan masyarakat Dabong dengan panggilan ‘Tok Imam’.

Menurut beliau lagi, Dabong terus mendapat tempat di hati masyarakat termasuk daripada luar negara terutamanya selepas banjir 2014.

Beliau sangat menghargai bantuan pelbagai pihak yang masih berterusan sehingga ke hari ini termasuklah misi-misi bantuan daripada Amal Serdang.

Misi yang melibatkan 3 buah kampung itu berakhir pada jam 5.30 petang setelah kira-kira 6 jam menyelusuri dan menziarahi masyarakat di sekitar Kampung Kuala Mahligai, Kampung Serasa dan Kampung Pasir Berdengung.

Misi diteruskan lagi dengan mengadakan Sambutan Israk dan Mikraj di Surau al-Ikhlas, surau yang telah dibina oleh Amal Serdang sebelum ini semasa pasca banjir di Kampung Sungai Garam, Kuala Temiang.

Antara pengisiannya ialah Ceramah Israk dan Mikraj oleh Timbalan Speaker DUN Kelantan,  Ustaz Abd Latif Abd Rahman, Adun Mengekebang yang juga YDP PAS Kuala Kerai. Turut diadakan pada malam itu ialah Mini Kem Solat yang melibatkan lebih 40 anak-anak masyarakat sekitar surau dan kenduri rakyat.

Wakil Amal Serdang memaklumkan mereka akan terus komited meneruskan program menyampaikan sumbangan bekalan makanan fizikal dan rohani kepada masyarakat di sekitar Dabong yang telah dimulakan sejak Mac 2016 lalu. – HARAKAHDAILY 25/4/2017

serdang4

serdang5

serdang1

- Advertisement -