
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli merakamkan penghargaan kepada seorang anak jati Perlis yang telah mencipta kejayaan cemerlang serta mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, anak jati Perlis iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Bio-Angle Vacs (BAV), Noor Shazreena Ishak yang telah berjaya mengkomersialkan STVac7 iaitu semburan vaksin rekombinan intranasal pertama di dunia bagi ruminan kecil.
Menurutnya, vaksin inovatif tersebut merupakan hasil penyelidikan dan ciptaan Prof Zamri Saad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah terbukti secara saintifik mampu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit pneumonia sehingga melebihi 98 peratus.
“Kejayaan ini bukan dicapai secara bersendirian, sebaliknya diperkukuh oleh sokongan barisan pengasas yang berkaliber serta pasukan profesional BAV yang terdiri daripada lebih 32 orang saintis, jurutera dan kakitangan berpengalaman.
“Mereka berkongsi komitmen tinggi dalam membangunkan teknologi bioteknologi tempatan dan memperluaskannya ke pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam aspek keupayaan industri, Mohd Shukri berkata BAV turut mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menyiapkan kemudahan pengilangan vaksin ternakan bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang pertama di Asia Tenggara, dengan kapasiti pengeluaran mencecah 600,000 botol setahun.
Menurut beliau, pencapaian tersebut sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian nilai bioteknologi di peringkat serantau.
Selain itu katanya, BAV juga sedang giat memperluaskan inovasi dalam bidang bioteknologi akuakultur melalui jaringan kerjasama strategik bersama UPM.

Projek yang diketuai oleh Prof Dr Ina Salwany Md Yasin itu telah berjaya menghasilkan ViVac dan Aquabooster, iaitu vaksin dan penggalak imun pertama di dunia berasaskan makanan khusus untuk ikan marin dan air tawar.
“Inovasi ini membuka lembaran baharu dalam pendekatan pencegahan penyakit akuakultur yang lebih mampan dan berimpak tinggi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa kecemerlangan kepimpinan dan sumbangan Noor Shazreena telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau dianugerahkan APEC BEST Award 2025 iaitu anugerah berprestij di bawah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Anugerah Business Efficiency and Success Target (BEST) itu mengiktiraf pemimpin wanita yang menyerlah dari segi inovasi, daya tahan serta impak sosial merentas 21 ekonomi anggota APEC.
“Edisi ke-10 anugerah tersebut yang berlangsung di Moscow membawa tema ‘Nilai Bersama Usahawan Wanita – Membina Masa Depan Mampan di Asia-Pasifik’.
“Sesungguhnya kejayaan Noor Shazreena Ishak ini merupakan satu kebanggaan bukan sahaja kepada negeri Perlis, malah kepada Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berharap pencapaian berkenaan dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, khususnya anak-anak Perlis untuk terus berinovasi, berani mencipta nilai baharu serta membawa nama negeri dan negara ke peringkat global. – HARAKAHDAILY 20/12/2025












