ICQS dibuka terhad untuk penduduk Wang Kelian sahaja

- Advertisement -

KANGAR: Pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian kini dibuka secara terhad hanya kepada penduduk Kampung Wang Kelian yang mempunyai urusan kerja atau melawat saudara-mara di Satun, Thailand.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan, Izizam Ibrahim berkata pembukaan tersebut bukan untuk orang awam dan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Untuk makluman, pintu sempadan ICQS Wang Kelian telah dibuka hanya untuk penduduk Kampung Wang Kelian yang mempunyai urusan kerja atau melawat saudara-mara di Satun, Thailand.

“Pembukaan ini bukan untuk orang awam dan adalah tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan penangguhan pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas (Free Flow) Wang Kelian yang sepatutnya bermula pada 12 Disember 2025 hingga 31 Mac 2026, susulan insiden tanah runtuh di sepanjang laluan utama ke sempadan Thailand.

Penangguhan tersebut dibuat selepas sebanyak 11 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di laluan Wang Kelian–Wang Prachan ketika kejadian banjir besar melanda Perlis pada bulan lepas.

Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, laluan berkenaan didapati tidak selamat, justeru JKR menasihatkan penutupan sementara kecuali kepada kenderaan ringan sahaja.

Menurut kenyataan Kerajaan Negeri, kerja-kerja pembaikan kini sedang dijalankan secara intensif dan dijangka memakan masa antara enam hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan raya dan risiko susulan tanah runtuh, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menangguhkan projek rintis itu sehingga tarikh baharu diumumkan selepas laluan berkenaan disahkan benar-benar selamat.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata keputusan tersebut dibuat atas dasar keselamatan selepas laluan berkenaan mengalami kerosakan serius.

“Projek Rintis Aliran Bebas di Wang Kelian itu kita tangguh dulu sebab kejadian banjir yang mana jalan ke Wang Kelian tu ada 11 lokasi runtuh. Atas nasihat JKR dan semua pihak yang terlibat, kita tangguh dulu untuk keselamatan pengunjung.

“Tarikh baharu akan diumum selepas semua pembaikan siap. Lepas itu kita akan bincang balik untuk buka semula free flow itu,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Sri Putra bulan lalu.

Beliau turut memaklumkan bahawa ICQS Wang Kelian telah ditutup sejak 23 November 2025, bukan sahaja disebabkan runtuhan di pihak Malaysia, malah laluan di Thailand turut terjejas.

“Jalan ke Thailand tu hanya untuk kenderaan ringan sahaja, tidak melebihi tiga tan, dan mesti dipantau polis supaya pengguna selamat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia telah mengeluarkan arahan penutupan ICQS Wang Kelian pada 23 November 2025 dan ia akan kekal ditutup sehingga laluan berkenaan disahkan selamat.

Orang ramai yang ingin ke Thailand melalui Perlis digesa menggunakan ICQS Padang Besar sebagai pintu sempadan alternatif.

Bagi memastikan penduduk Kampung Wang Kelian tidak terputus bekalan asas dan keperluan harian, Mohd Shukri berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan satu laluan aliran bebas khas antara penduduk kampung tersebut dengan Wang Prachan. – HARAKAHDAILY 20/12/2025

- Advertisement -