Kedah pertimbang naik elaun pengerusi, setiausaha MKK

- Advertisement -

BALING: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan kenaikan elaun pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) seluruh Kedah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini pemegang jawatan berkenaan masing-masing menerima elaun bulanan sebanyak RM500 dan RM300.

“Kerajaan negeri sememangnya berhasrat menaikkan elaun pengerusi dan setiausaha MKK pada masa akan datang sekiranya hasil kerajaan negeri meningkat.

“Malah peruntukan RM1 juta kepada MKK pun akan ditambah apabila kedudukan kewangan kerajaan negeri meningkat,” katanya pada sidang media sebaik sahaja selesai Majlis Konvensyen dan Penyampaian Watikah MKK 2024 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi,pihaknya amat memahami elaun yang diterima oleh pengerusi dan setiausaha MKK kini tidak berbaloi berbanding tugasan yang digalas.

Justeru, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas semangat sukarelaan pemegang jawatan berkenaan yang sanggup bekerja keras walaupun elaun tidak seberapa.

Di Kedah terdapat 2,480 orang iaitu 1,240 pengerusi dan setiausaha MKK selain 11 jawatankuasa lain di setiap komuniti.

Jumlah itu juga termasuk 32 orang di 18 kampung baharu yang diwakili bukan Islam.

Dalam pada itu, Sanusi merasa amat teruja dengan kehadiran pengerusi dan setiausaha MKK yang begitu ramai memenuhi ruang atas dan bawah.

“Saya tak sangka mai sebegini ramai. Sangka saya separuh dewan sahaja.

“Tetapi inilah sebenarnya indikator sokongan golongan ‘grassroots’ terhadap kerajaan negeri.

“Sokongan penuh sebegini akan membantu melancarkan lagi program-program kerajaan negeri khususnya kepada rakyat bawahan,” tambah beliau.

Pada majlis itu, setiap pegawai daerah di negeri menerima watikah pelantikan mewakili pengerusi dan setiausaha MKK daerah masing-masing.

Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM13 juta untuk elaun pengerusi dan setiausaha MKK termasuk RM1 juta untuk program komuniti.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali. – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -