MKK berperanan bantu realisasi hala tuju kerajaan negeri

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

BALING: Setiap pemimpin Majlis Ketua Kampung (MKK) di Kedah mempunyai peranannya tersendiri untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembinaan Insan dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, MKK perlu bertindak sebagai agen menyampaikan dasar kerajaan negeri ke peringkat akar umbi.

“Peranan MKK sangat penting untuk membantu kerajaan negeri terutama berhubung dengan masyarakat bawahan di peringkat akar umbi khususnya menjayakan misi ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Konvensyen dan Penyampaian Watikah  MKK 2024 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, di sini, hari ini.

Dalam pada itu kata Ashah, MKK juga perlu membantu kerajaan negeri dalam usaha mewujudkan kampung maju serta sejahtera di peringkat luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu juga berkongsi tips syarat menjadi pemimpin yang baik.

Antaranya tambah beliau, sebagai pemimpin faham serta berminat dengan tugasan walaupun elaun yang diterima tidak seberapa  itu, ikhlas dan bersifat terbuka, berjiwa kebajikan serta jujur.

“Pemimpin yang baik juga mesti mempunyai kemampuan dan kewibawaan selain tidak mementingkan diri sendiri,” tambahnya lagi.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan untuk kursus-kursus bersiri mentadbir kampung mengenal lebih mendalam tugasan MKK. – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -