Kerapu 8.1 kg bawa tuah kepada nelayan

- Advertisement -

JASIN: Tuah seorang pemancing setelah menyertai Pertandingan Memancing dan Sambutan Hari Raya Serkam Pantai kali ketiga apabila berjaya menangkap seekor ikan kerapu seberat 8.1 kilogram.

- Advertisement -

Abdul Mohammad Batrisyah, 48, yang juga merupakan salah seorang nelayan sepenuh masa Kampung Serkam Pantai membawa pulang hadiah bernilai RM500 dan hamper apabila disahkan sebagai johan.

“Ini kali ketiga saya sertai pertandingan ini. Tahun ketiga. Masa saya sertai tahun pertama tu saya dapat hadiah ikan terbanyak.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya dapat johan sebab dapat tangkap ikan kerapu yang disahkan paling berat dan saya dapat jadi johan,” katanya kepada Harakahdaily.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Serkam Pantai bermula dengan pelepasan peserta oleh Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail pada Jumaat malam.

Peserta mula menangkap ikan dengan menaiki sampan bermula Jumaat malam dan berakhir pada 7.00 pagi Sabtu.

Semua ikan akan ditimbang untuk menentukan pemenang manakala majlis penutup dengan penyampaian hadiah dan jamuan raya pula diadakan pada Sabtu malam.

Turut hadir pada majlis penutup tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan sementara Tuan Guru Zulkifli turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Serkam Pantai, Mohd Shah Hashim, 66, berkata, program tersebut kini sudah masuk tahun kelima penganjurannya.

Katanya, program tersebut dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung selain mengambil sempena Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.

“Untuk tahun ini sebenarnya dari segi jumlah penyertaan tahun ini lebih ramai dari tahun lepas. Tahun lepas tak sampai 100 orang. Tetapi tahun ni seramai 114 peserta menyertainya.

“Cuma dari segi jumlah tangkapan keseluruhan sangat berkurang. Mungkin sebab masalah cuaca. Malam tadi ada sedikit hujan sehingga sampan-sampan terpaksa naik ke darat seketika,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua 114 peserta menaiki 40 sampan milik nelayan yang berdaftar di mana di pantai tersebut terdapat ikan jenahak kerapu, serkut, kurau dan senangin. – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -