PAS persoal Network School, risiko Israel dan data rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberikan penjelasan menyeluruh berhubung cadangan pembinaan Network School di Forest City, Johor, khususnya berkaitan aspek keselamatan negara, pemilikan benefisial serta pengurusan data pengguna.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kebimbangan pelbagai pihak berhubung dakwaan projek berkenaan mempunyai kaitan dengan individu atau entiti yang dikaitkan dengan Israel perlu diberi perhatian serius.

“Adakah kerajaan telah mengesahkan identiti sebenar pemilik benefisial (beneficial ownership) Network School serta semua pihak yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek ini?

“Adakah kerajaan telah menjalankan semakan menyeluruh bagi memastikan tiada hubungan korporat, pelaburan, teknologi atau kepentingan lain yang boleh menimbulkan konflik dengan dasar luar Malaysia terhadap Israel?

“Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Serta agensi risikan negara telah menjalankan penilaian risiko keselamatan sebelum sebarang kelulusan diberikan?” soal beliau mewakili Ahli-ahli Parlimen PAS dalam sidang media Parlimen di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada projek itu melibatkan penggunaan teknologi digital, platform pembelajaran, sistem pengkomputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan (AI) atau pusat data yang dikendalikan syarikat luar negara.

“Jika ya, apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan data rakyat Malaysia sentiasa berada di bawah perlindungan undang-undang negara?

“Di manakah data pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar serta semua pengguna akan disimpan? Adakah data tersebut akan diproses atau dihoskan di luar negara?

“Adakah kerajaan telah menjalankan Data Protection Impact Assessment (DPIA) atau penilaian impak keselamatan data sebelum projek ini dipertimbangkan?

“Adakah projek ini pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Negara atau mana-mana jawatankuasa khas Kabinet yang berkaitan dengan keselamatan strategik?” soalnya lagi.

Ustaz Tarmizi menyatakan, pelbagai maklumat kini sedang beredar di ruang awam dan kerajaan bertanggungjawab memberikan penjelasan yang telus serta berasaskan fakta bagi memperbetulkan sebarang kekeliruan.

Sementara itu, beliau mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Johor yang akan meneliti perkara berkenaan, namun berpandangan, isu itu turut membabitkan aspek keselamatan negara, teknologi digital, aliran data rentas sempadan serta kepentingan strategik negara.

“Penjelasan yang diberikan tidak boleh terhad kepada kerajaan negeri semata-mata. Kerajaan Persekutuan juga perlu tampil memberikan pendirian rasmi,” katanya.

Menurutnya, persoalan utama bukan sekadar sama ada projek itu membawa pelaburan atau manfaat ekonomi, tetapi sama ada semua proses tapisan keselamatan (security vetting) sudah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi berkaitan.

Ustaz Tarmizi turut menyatakan, ancaman terhadap sesebuah negara dalam landskap geopolitik hari ini tidak lagi hanya berbentuk ketenteraan.

Sebaliknya jelas mereka, ancaman itu turut melibatkan pengumpulan data berskala besar, kecerdasan buatan, rangkaian digital, sistem pendidikan antarabangsa dan teknologi awan yang kini menjadi sebahagian daripada dimensi baharu keselamatan negara.

“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh melihat isu ini hanya daripada sudut pelaburan asing. Setiap projek melibatkan pengumpulan data berskala besar, penggunaan teknologi digital dan penglibatan pihak luar hendaklah melalui penelitian keselamatan yang paling ketat,” tegasnya.

Ustaz Tarmizi turut menegaskan, Malaysia perlu memastikan setiap dasar pelaburan dan pembangunan kekal selaras dengan prinsip dasar luar negara, khususnya sebagai negara yang secara konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin serta menolak segala bentuk penjajahan dan penindasan.

“Kami menyeru kerajaan bersikap telus dan menjawab segala persoalan ini secara terbuka. Ketelusan merupakan kaedah terbaik untuk mengelakkan spekulasi, membina keyakinan rakyat dan membuktikan bahawa kepentingan negara sentiasa mengatasi kepentingan ekonomi semata-mata.

“Kedaulatan negara tidak boleh dikompromi. Keselamatan data rakyat tidak boleh dipandang ringan. Setiap projek strategik yang melibatkan kepentingan asing mesti melalui tapisan keselamatan yang ketat serta penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -