Dewan Rakyat digesa bahas isu Israel, Network School 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat digesa membincangkan pendirian rasmi dan penjelasan Perdana Menteri berhubung kemasukan warga Israel secara haram serta kaitan entiti berkenaan melalui cadangan penubuhan institusi pendidikan Network School di negara ini, khususnya di Forest City, Johor.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, usul yang dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Johari Abdul oleh beliau merupakan perkara yang perlu disegerakan kerana melibatkan kepentingan awam.

“Bahawa saya, Ahli Parlimen Tumpat, mohon mencadangkan agar Majlis Mesyuarat ini mengikut Peraturan 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk merundingkan berkenaan pendirian rasmi dan penjelasan daripada Perdana Menteri.

“Serta tindakan segera kerajaan susulan tersebar dakwaan tentang kemasukan keberadaan sejumlah warga Israel secara haram menggunakan taktik pasport kedua.

“Dan entitinya melalui cadangan penubuhan institusi pendidikan ‘Network School’ dalam negara kita khususnya di Forest City, Johor dan kenyataan media Menteri Besar Johor hari ini,” ujarnya dalam kenyataan usul tersebut.

Menurut beliau, usul tersebut adalah perkara tertentu kerana ia melibatkan dasar luar negara yang tidak mengiktiraf dan tiada hubungan rasmi dengan Israel.

“(Serta tiada hubungan rasmi dengan) entitinya (Israel) serta tindakan rasmi kerajaan dalam menyiasat dan memastikan warga Israel dan kepentingannya dihentikan serta diusir segera dari dalam negara kita,” tegasnya.

Mumtaz menjelaskan, pihak berkenaan tidak boleh dibiarkan dan dibenarkan untuk memanipulasi pendidikan serta ekonomi negara dalam apa juga nama dan bentuk.

“Mereka (Israel) tidak boleh dibiarkan dan dibenarkan untuk memanipulasi pendidikan dan ekonomi negara kita dalam apa jua nama dan bentuk.

“Kerana besarnya implikasi agama dan politik serta sosial dan ekonomi terhadap rakyat dan negara kita sekiranya tiada tindakan serius dan segera oleh Kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -