Krisis di sektor kesihatan perlu tindakan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berdepan krisis sektor kesihatan yang masih berada pada tahap boleh diurus, namun memerlukan tindakan segera terutama dalam aspek pembiayaan, tenaga kerja dan pencegahan penyakit.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Khairi berkata, walaupun keadaan belum mencapai tahap gagal dikawal, pelbagai petunjuk memperlihatkan sistem kesihatan negara sedang menerima tekanan yang semakin membimbangkan.

- Advertisement -

Beliau mengupas demikian ketika menjadi panel Podcast Jalan Pahang terbitan HarakahDaily yang dihoskan oleh Suffi Kamari, di sini baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat itu, antara petunjuk utama ialah peruntukan sektor kesihatan Malaysia yang masih belum mencapai saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“WHO mencadangkan perbelanjaan kesihatan sekitar lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi Malaysia masih berada sekitar 4.6 peratus sahaja.

“Selain itu, negara turut merekodkan inflasi kesihatan sekitar 15 peratus, lebih tinggi berbanding purata Asia yang hanya sekitar 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata, inflasi kesihatan yang tinggi menggambarkan peningkatan kos rawatan dan keperluan perubatan semakin mendesak, sedangkan semakin ramai rakyat berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan.

Ahmad Yunus turut membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja kesihatan yang berlarutan membabitkan doktor pakar, pegawai perubatan, jururawat serta kakitangan sokongan.

Menurutnya, Malaysia kini dianggarkan kekurangan antara 11,000 hingga 13,000 doktor pakar, selain sekitar 4,500 hingga 5,000 pegawai perubatan.

Walaupun nisbah doktor kepada penduduk hampir mencapai sasaran 1:400 tetapi jelasnya, masalah sebenar ialah agihan doktor yang tidak seimbang.

“Ramai doktor tertumpu di kawasan bandar, manakala kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak masih mengalami kekurangan doktor sehingga ada hospital dan klinik berdepan kesukaran menyediakan perkhidmatan,” ujarnya.

Mengulas punca tekanan terhadap sistem kesihatan negara, beliau berkata, krisis semasa bukan lagi berpunca daripada pandemik COVID-19 semata-mata, sebaliknya didorong oleh peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Katanya, penyakit seperti diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan kegagalan buah pinggang banyak berpunca daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat.

“Saya rasa Malaysia antara negara yang mempunyai kadar penyakit ini yang tinggi. Ia berkait rapat dengan cara pemakanan, kurang bersenam dan sikap yang kurang mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai program pendidikan kesihatan dan kempen kesedaran, impaknya masih belum mencapai sasaran yang diharapkan.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus menyifatkan pendekatan kerajaan dengan memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan primer melalui Kertas Putih Kesihatan sebagai langkah yang positif.

Beliau turut menyokong kempen seperti konsep pemakanan Suku Suku Separuh, galakan bersenam, pengurangan pengambilan gula serta usaha memperketat kawalan terhadap produk merokok dan vape.

Namun katanya, kempen semata-mata tidak mencukupi sekiranya masyarakat sendiri tidak mengubah gaya hidup.

“Kesedaran itu mesti datang daripada diri sendiri. Restoran boleh menyediakan minuman bergula, tetapi kita sendiri yang menentukan sama ada mahu mengambilnya atau tidak.

“Jika kesedaran ini berjaya dibentuk, kita boleh mengurangkan penyakit tidak berjangkit yang ketika ini menelan lebih RM12 bilion setahun bagi kos rawatan,” katanya.

Menyentuh isu pengeluaran nikotin daripada Akta Racun, beliau berkata tindakan itu pada asalnya dilakukan bagi membolehkan kerajaan mengenakan cukai eksais sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam diluluskan.

Bagaimanapun kesalinya, langkah tersebut telah mewujudkan tempoh kekosongan undang-undang sehingga tiada tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan terhadap penjualan vape yang mengandungi nikotin.

Beliau berkata, keputusan itu turut dicabar di mahkamah kerana tidak mengikut prosedur yang sepatutnya, manakala kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

“Saya berpandangan pertimbangan komersial atau kutipan cukai tidak seharusnya mengatasi pertimbangan kesihatan awam,” tegasnya.

Ahmad Yunus turut melahirkan kebimbangan terhadap cadangan penjimatan bajet yang dilaporkan melibatkan lebih RM6 bilion, termasuk lebih RM3 bilion daripada Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan masih belum memperincikan sektor yang akan terjejas akibat langkah penjimatan tersebut.

“Dalam keadaan kita sedang berdepan kekurangan doktor pakar, tekanan terhadap hospital dan peningkatan jumlah pesakit, saya berpandangan sektor kesihatan tidak sepatutnya menjadi sasaran pemotongan.

“Kerajaan sepatutnya menangguhkan dahulu projek yang kurang mendesak supaya sektor kesihatan tidak terus terjejas,” katanya.

Beliau turut mengakui kos rawatan dijangka terus meningkat susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

Namun katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pembekal, kenaikan harga ketika ini masih berada pada tahap yang mampu ditanggung.

Dalam jangka panjang, beliau berpandangan Malaysia perlu membangunkan sistem pembiayaan kesihatan yang lebih mampan menerusi insurans kesihatan dan takaful, di samping kerajaan terus menyediakan perlindungan kepada golongan B40.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkukuh skim bantuan seperti Skim Perubatan Madani serta memperluaskan model seperti Peduli Sihat dan Iltizam Selangor Sihat bagi memastikan golongan rentan terus mendapat akses kepada rawatan.

“Golongan B40 mesti terus dibantu. Pada masa sama, kerajaan perlu membangunkan satu dana kesihatan yang lebih kukuh supaya sistem kesihatan negara kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -