
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memutuskan untuk meneruskan pemantauan rapi terhadap projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Langkah itu diambil bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti ekoran terdapat pelbagai perkembangan baharu, termasuk isu kelewatan serahan jadual kapal serta pembatalan lesen eksport peluru berpandu oleh kerajaan luar.
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan kerja ke Lumut, Perak pada 30 Januari lalu bagi meninjau status kemajuan fizikal kapal berkenaan sebelum disusuli dengan prosiding kemajuan projek pada 4 Februari 2026.
“Setakat Disember 2025, kemajuan fizikal keseluruhan projek adalah 75.73 peratus. Manakala kapal pertama, LCS 1 telah pun mencapai 82.90 peratus. LCS 1 juga telah berjaya menjalani ujian laut (First Sea Going) pada 28 Januari dengan kelajuan 22 knot.
“Bagaimanapun, tarikh penyerahan LCS 1 dipinda daripada waktu prosiding tersebut kepada Disember 2026 iaitu lewat selama empat bulan, manakala LCS 2 ditunda kepada Ogos 2027.
“Walau bagaimanapun, tarikh serahan LCS 3 sehingga LCS 5 kekal mengikut kontrak sehinggalah April 2029,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Menurut beliau, kelewatan berkenaan berpunca daripada tuntutan audit teknikal yang ketat oleh Naval Group Perancis yang mewajibkan kerja semula (rework) ke atas hampir 4,000 item termasuk penambahan 50 kilometer kabel bagi kapal LCS 1.
Di samping itu, impak pandemik COVID-19 turut menyaksikan beberapa pembekal peralatan asal (OEM) di Eropah muflis, sekali gus memaksa kontraktor melantik vendor alternatif serta melakukan pensijilan semula yang memakan masa.
Walau bagaimanapun, Mas Ermieyati menegaskan kos keseluruhan kontrak kekal pada harga tetap iaitu RM11.22 bilion dan segala implikasi kos akibat kerja semula ditanggung sepenuhnya oleh syarikat Lunas tanpa melibatkan tambahan dana kerajaan.
Isu pembatalan peluru berpandu Norway
Dalam perkembangan lebih kritikal, PAC mendedahkan isu lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang bertindak sebagai sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) bagi kapal tempur berkenaan.
Menurut Mas Ermieyati, Kerajaan Norway telah menarik balik dan membatalkan lesen di mana isu berkenaan diteliti dalam prosiding bertarikh 23 Jun lepas yang memanggil pihak MINDEF untuk memberikan penjelasan komprehensif.
“Kerajaan Malaysia telahpun melunaskan 95 peratus daripada dana awam bagi keseluruhan nilai kontrak perolehan Naval Strike Missile (NSM) sebagai surface to surface missile (SSM) bagi projek pembangunan kapal peronda generasi kedua LCS TLDM.
“Tindakan kerajaan Norway menarik balik dan juga membatalkan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile bagi projek LCS ini mampu menjejaskan keupayaan tempur kapal LCS, di mana kapal berisiko diserahkan tanpa sistem persenjataan utama yang lengkap,” jelas beliau.
Sehubungan itu, MINDEF dan TLDM diwajibkan mengemukakan laporan kemajuan bertulis kepada PAC setiap tiga bulan bermula daripada Mei 2026 tanpa gagal bagi memastikan setiap kelewatan dikesan awal.
MINDEF dan Kementerian Kewangan (MOF) juga tegas beliau, hendaklah mengekalkan disiplin kewangan yang ketat bagi memastikan kos keseluruhan projek kekal di bawah siling RM11.22 bilion.
Selain, MINDEF turut dihendaki memastikan projek ini berjaya direalisasikan sehingga kelima-lima buah kapal dapat diserahkan kepada TLDM mengikut garis masa dan kos ditetapkan.
Kontraktor Lunas juga garis PAC, perlu memastikan stok waranti dan kontingensi bagi peralatan kritikal seperti radar sentiasa mencukupi bagi mengelakkan kelewatan berulang.
PAC turut mengingatkan kerajaan hendaklah memperkukuhkan langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian adil serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.
“Kerajaan hendaklah memanfaatkan sepenuhnya ruang rundingan damai ataupun prosiding perundangan bagi menuntut ganti rugi yang setimpal mengikut terma kontrak yang telah dipersetujui berhubung isu pembatalan peluru berpandu NSM oleh Norway,” ujarnya.
Mengenai aspek perundangan dan integriti pula, Mas Ermieyati menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan siasatan jenayah berkaitan projek ini masih berjalan secara aktif.
Manakala siasatan tatakelola beritahu Mas Ermieyati, telah selesai dengan khidmat nasihat diserahkan kepada MINDEF pada Ogos 2023.
Orang ramai yang berminat meneliti penemuan lengkap laporan berkenaan boleh memuat turun dokumen rasmi menerusi laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac. – HARAKAHDAILY 8/7/2026













