
TENGGARA: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.35 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Yuhanita Yunan berkebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin menjadi kelebihan beliau mendekati penduduk kaum Cina.
Ternyata rata-rata masyarakat etnik Tionghoa yang ditemuinya bagaikan ditambat hati dan kemesraan dengan sapaan serta perbualan mesra beliau dalam memperkenalkan diri sempena kempennya.
Bukan sahaja ceruk rantau kampung, beliau juga dibawa bertemu pengundi di kawasan taman perumahan persekitaran, bertemu para pengundi dari setiap lapisan masyarakat, bangsa dan agama.
Kunjungan ziarah kasih beliau ke beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM), bukan sahaja disambut baik malah mendapat maklum balas yang positif, sehingga ada yang mempelawanya masuk ke rumah.
Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Tenggara ini terus aktif mengadakan kempen termasuk di premis-premis perniagaan, gerai jualan dan kedai-kedai makan persekitaran.
Antaranya menemui para peniaga dan pengunjung di pasar pagi dan pasar raya besar di mana, selain pimpinan tempatan, gerak kempen itu turut disertai Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) Johor.
Pada sebelah malam, Guru Penolong Kanan, SRITI Taman Sri Saujana ini juga tidak melepaskan peluang beramah mesra bersama para jemaah di masjid atau surau disinggahinya.
Ketua Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali antara turut bersama membantu dan mengiringi Yuhanita menyantuni para pengundi di lapangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu juga bersama-sama mengedar biodata calon dan merayu undi, selain turut dibantu ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim.
Kerusi N.35 DUN Pasir Raja menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing diwakili Datuk Seri Dr Adham Baba dan Mohd Fakharuddin Moslim.
Pada PRN15, kerusi itu dimenangi calon BN, Rashidah Islam dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Intan Jawahir (PN), Mohd Fakharuddin Moslim (PH) dan Mohd Yusri Yusof (PEJUANG).
Pada 11 Julai depan, rakyat Johor akan keluar membuang undi bagi menentu hala tuju politik negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang. –
HARAKAHDAILY 7/7/2026











