Awang ada ciri wakil rakyat, mudah didekati, dihubungi

- Advertisement -

BAKRI: Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

Menurutnya, calon PN Arshed Yahya atau lebih dikenali sebagai Awang, disifatkan sebagai calon tempatan berpengalaman serta memahami keperluan masyarakat.

Beliau berkata, Awang mempunyai ciri-ciri wakil rakyat diperlukan penduduk kerana mudah didekati, dikenali ramai dan sentiasa bersama masyarakat, berbeza dengan segelintir pemimpin yang hanya turun padang ketika musim pilihan raya.

Menurutnya, PERIKATAN NASIONAL mengetengahkan calon yang mampu membawa suara rakyat dengan penuh tanggungjawab di samping memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada seluruh pengundi, rakyat Johor khususnya di Simpang Jeram serta semua jentera dan tenaga tempatan yang telah bertungkus lumus sepanjang tempoh kempen.

“Kita berharap mereka akan terus memberikan sokongan padu kepada saudara Awang atau Arshed Yahya yang merupakan anak tempatan dan amat dikenali oleh penduduk di sini,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini

Annuar berkata, Simpang Jeram memerlukan seorang wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat dan tidak mengabaikan amanah selepas dipilih.

“Kita mahukan wakil rakyat yang sederhana, mudah dihubungi, sudah dikenali dan sentiasa berada bersama rakyat. Bukan apabila menang menjadi sombong, sibuk berniaga atau mengejar projek sehingga mengabaikan amanah kepada pengundi,” ujarnya.

Beliau turut mengajak semua pengundi tanpa mengira latar belakang parti termasuk MCA, Umno, GERAKAN dan parti lain supaya memberikan peluang kepada Awang mewakili mereka di DUN Johor.

Menurutnya lagi, pilihan raya kali ini bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, sebaliknya membawa misi memperkukuhkan PERIKATAN NASIONAL sebagai kuasa semak dan imbang serta menolak PH.

Dalam masa sama, beliau berkata PERIKATAN NASIONAL menghormati pendirian Umno Johor yang menolak kerjasama dengan PH.

“Kita melihat pendekatan Umno Johor yang membawa prinsip ‘No DAP, No PH’ sebagai satu pendirian politik yang berani dan selari dengan pendirian kita. Sebab itu tidak timbul masalah untuk kita bekerjasama dalam perkara yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, jika Awang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), PERIKATAN NASIONAL akan menjalankan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan melaksanakan fungsi semak dan imbang tanpa menolak dasar kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu kerana wakil rakyat PERIKATAN NASIONAL di Sabah sebelum ini turut memainkan peranan sebagai pembangkang membina sambil menyokong kerajaan negeri demi kestabilan pentadbiran.

Annuar turut berkata, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap PH dan DAP kerana gagal memenuhi pelbagai janji kepada rakyat.

Beliau berkata, beberapa isu yang berlaku di Selangor termasuk berkaitan tenaga kerja dan rumah ibadat telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya lagi, negeri yang ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan rekod yang baik dalam mengurus masyarakat berbilang kaum.

“Rekod PAS dan PERIKATAN NASIONAL dalam mentadbir negeri yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum adalah lebih baik berbanding apa yang ditunjukkan DAP.

“Sebab itu saya percaya pengundi di Johor mampu membuat pilihan terbaik dengan memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL.

“Berilah sokongan yang padu kepada saudara Awang untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mewakili seluruh rakyat Simpang Jeram di DUN Johor,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026

- Advertisement -