
KOTA BHARU: Biarpun sedang menerima rawatan di hospital, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar tetap berusaha menjayakan program makan durian bersama anak-anak Rumah Kebajikan Darul Hanan anjuran Kelab Balkis.
Beliau menyumbangkan durian dan wang tunai bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar menerusi program yang dianjurkan bersama NGO Jurugambar Prihatin.
Usaha tersebut menunjukkan keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal itu terhadap kebajikan anak-anak Darul Hanan walaupun masih menjalani rawatan di hospital.
Sumbangan itu turut diurus anaknya, Mujahid Mohd Rodzi yang menguruskan buah-buahan berkenaan sebelum diagihkan kepada dua badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Bagi menjayakan program itu, seorang alumni Sekolah Menengah Seri Nering, (SSN) Maznah Ismail, turut menyumbangkan durian miliknya, di mana kira-kira 50 tetamu hadir pada majlis yang berlangsung malam kelmarin.
Antara yang hadir ialah wakil Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, alumni Maahad Pengajian Islam (MPI) Kota Bharu serta anggota keluarga masing-masing.
Pengurus Rumah Kebajikan Darul Hanan, Ustaz Hilmi Abdul Rahman, ketika berucap pada majlis itu melahirkan penghargaan kepada semua penyumbang yang membantu menjayakan program berkenaan.
Katanya, sumbangan dan keprihatinan pelbagai pihak membolehkan anak-anak Darul Hanan merasai kegembiraan yang telah lama tidak dianjurkan pihaknya.

Menurutnya, majlis ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana penuh kemesraan antara anak anak Darul Hanan serta sukarelawan Kelab Balkis.
Katanya, program santai seperti itu bukan sekadar menikmati juadah pulut durian, sebaliknya menjadi medan mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran semula program tersebut selepas beberapa tahun terhenti akibat pandemik COVID-19 amat bermakna kerana ia menghimpunkan kembali sahabat-sahabat lama.
Khususnya kata beliau, Jurugambar Prihatin yang banyak terlibat dalam misi kebajikan termasuk ketika banjir besar pada tahun 2014.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan menyumbang kepada anak-anak Darul Hanan, sama ada dalam bentuk kewangan, makanan mahupun tenaga.
“Mudah-mudahan segala sumbangan dan amal kebajikan ini diberikan ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT, dimurahkan rezeki serta dikurniakan keberkatan hidup,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar ukhuwah terjalin terus berkekalan dan semua yang hadir dipertemukan kembali di syurga Allah SWT kelak. – HARAKAHDAILY 4/7/2026












