Awang faham keperluan penduduk Simpang Jeram

Dato' Dr Ab Halim Tamuri (dua dari kiri) hadir memberi sokongan kepada Arshed Yahya atau Awang ketika berkempen di Parit Sari, Muar.
- Advertisement -

BAKRI: PERIKATAN NASIONAL (PN) meletakkan keyakinan bahawa calon bagi kerusi N.13 DUN Simpang Jeram PRN16 Johor, Arshed Yahya atau Awang, mampu membela kebajikan rakyat berdasarkan pengalamannya.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pemilihan calon anak tempatan itu bukan sekadar untuk bertanding, sebaliknya berasaskan keupayaan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Menurut beliau, Awang mempunyai kelebihan kerana dikenali penduduk setempat selain berpengalaman mendekati rakyat dan memahami isu yang dihadapi mereka.

“Bila hendak mencari calon, carilah calon yang mempunyai kelebihan. Hebat dalam bekerja dan hebat dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.

“Beliau ialah calon tempatan. Saya yakin dengan pengalaman yang ada pada beliau, beliau mampu melaksanakan tanggungjawab, mendekati rakyat serta menjaga kebajikan rakyat di kawasan ini,” katanya ketika hadir berkempen bersama Awang di Parit Sari, di sini.

PERIKATAN NASIONAL (PN) meletakkan calon daripada PAS bagi kerusi N.13 Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 yang akan membuang undi 11 Julai nanti.

“InsyaAllah, jangan lupa keluar mengundi pada hari pengundian. Pilih calon nombor empat, Awang. Undilah Awang untuk Simpang Jeram,” serunya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan dalam pada itu menyeru seluruh pengundi DUN Simpang Jeram, khususnya anak perantau, supaya pulang mengundi.

“Saya memohon kepada semua pengundi DUN Simpang Jeram supaya turun beramai-ramai pada 11 Julai untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pastikan memilih calon nombor empat, anak tempatan, Awang,” katanya memperingatkan setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan kawasan berkenaan.

Beliau turut mengajak anak-anak Simpang Jeram yang berada di luar kawasan supaya pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Mana-mana anak-anak yang berada di perantauan, saya menyeru supaya balik ke kampung untuk menjalankan tanggungjawab dan pastikan memilih anak tempatan, Awang, calon nombor empat.

“Untuk masa depan yang lebih baik, undilah calon nombor empat, Awang,” katanya.

Awang berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang PH, Nazri Abdul Rahman, calon BN, Azman Ismail dan calon MUDA, Anie Haziqah Shafii. – HARAKAHDAILY 4/7/2026

- Advertisement -