Undi anak muda berpotensi jadi gelombang di Johor

- Advertisement -

MUAR: Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari menyeru jentera Pemuda dan Wanita Muda PERIKATAN NASIONAL (PN) supaya memperhebat penyebaran maklumat serta fakta mengenai pencapaian gabungan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur itu, ia bagi memastikan pengundi, khususnya golongan muda, membuat pilihan berdasarkan pengetahuan yang benar pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16 Johor).

- Advertisement -

Beliau berkata, persepsi bahawa Johor bukan kubu tradisi PAS atau PN tidak seharusnya melemahkan semangat para penyokong kerana statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan hampir separuh pengundi di negeri itu terdiri daripada golongan muda.

“Ikut data SPR, undi anak muda berumur 18 hingga 39 tahun adalah 47.6 peratus di Johor. Anak-anak muda ini, kalau mereka memberikan gelombang undi, ia akan menjadi gelombang yang besar. Jadi jangan putus asa,” katanya.

Mardhiyyah yang juga seorang pengamal undang-undang berucap demikian pada program Pentas Anak Muda dan Himpunan Jentera Pemuda di Laman Muafakat, Simpang Jeram, di sini malam tadi.

Menurut beliau, antara naratif sering dimainkan ialah mengenai rakyat tidak perlu mengundi PERIKATAN NASIONAL kerana gabungan itu tidak bertanding kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, tindakan tersebut tidak tepat kerana majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Johor hanyalah 29 kerusi, manakala PN bertanding di 33 daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kalau berlaku gelombang besar rakyat Johor memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL, insya-Allah kita boleh menang,” ujarnya.

Beliau turut berkata, cabaran utama PERIKATAN NASIONAL ketika ini ialah kekangan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat kerana tidak menguasai media arus perdana, selain berdepan sekatan di media sosial.

Menurutnya, Kerajaan Malaysia pernah menjadi negara yang paling banyak membuat permintaan kepada platform TikTok untuk memadam kandungan dan menyekat hantaran.

“Anak-anak muda, takkan kita hendak mengundi kerajaan yang menyekat kebebasan bersuara?” soalnya.

Mengulas isu kos sara hidup, Mardhiyyah turut menyentuh tindakan kerajaan yang menurunkan harga diesel menjelang PRN16 Johor.

“Sebelum kita puji harga minyak turun, kita tanya dahulu siapa yang naikkan harga itu. Kalau boleh jawab yang itu, barulah kita puji,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera anak muda memperbanyakkan penyebaran maklumat mengenai pencapaian kerajaan PERIKATAN NASIONAL supaya pengundi muda memperoleh gambaran sebenar.

“Sebarluaskan sebanyak mungkin informasi dan fakta supaya pengundi muda di luar sana mendengar cerita yang sebenar tentang pencapaian PERIKATAN NASIONAL supaya mereka mengundi berdasarkan kefahaman dan pengetahuan.

“Saya yakin bangsa Johor, jika mereka tahu kebenaran, mereka akan mengundi PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman rakyat di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis selepas memilih PERIKATAN NASIONAL wajar dijadikan contoh kepada rakyat Johor.

Menurutnya lagi, golongan muda perlu memanfaatkan proses demokrasi untuk memilih kepimpinan terbaik tanpa dipengaruhi tekanan daripada keluarga atau rakan-rakan kerana undi adalah rahsia.

“Tak perlu takut mak ayah undi parti lain, jiran suruh undi yang lain ataupun teman wanita suruh undi yang lain. Undi adalah rahsia, tiada siapa tahu. Undilah PERIKATAN NASIONAL, insya-Allah barulah anda boleh nampak perubahan,” katanya.

Dalam aspek pentadbiran, beliau berkata antara reformasi terbesar yang dilaksanakan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL di negeri-negeri ditadbirnya ialah prinsip keadilan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Kita beri sumbangan, kita beri pertolongan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan parti politik. Kita berlaku adil kerana Allah berfirman, berlaku adillah kamu kerana itu paling hampir kepada takwa.

“Itulah yang kita laksanakan di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis. Kita buang budaya hanya membantu penyokong sendiri. Bantuan pendidikan dan bantuan kepada golongan susah diberi tanpa ditanya mereka menyokong parti apa,” jelasnya.

Dalam aspek ekonomi pula, Mardhiyyah menolak laporan bahawa Kerajaan PERIKATAN NASIONAL gagal mengurus ekonomi negeri dengan mengemukakan beberapa pencapaian pentadbiran Kedah.

Katanya, Kedah kini muncul sebagai negeri nombor satu Malaysia dalam pelaburan sektor pembuatan di bawah pentadbiran kerajaan PERIKATAN NASIONAL.

Beliau turut membandingkan pencapaian pelaburan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), apabila sepanjang tempoh 1996 hingga 2020 jumlah pelaburan yang direkodkan hanyalah RM50 bilion.

Namun katanya, dalam tempoh lima tahun pentadbiran PERIKATAN NASIONAL bermula 2021 hingga 2025, jumlah pelaburan meningkat kepada RM132 bilion.

“Pencapaian 24 tahun dibandingkan dengan pencapaian lima tahun. Yang lima tahun itu di bawah PERIKATAN NASIONAL. Mana lebih besar, RM132 bilion atau RM50 bilion?” katanya.

Menurut beliau, beberapa syarikat multinasional turut memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan termasuk syarikat Austria, AT&S, Boeing Composites dalam industri aeroangkasa serta Porsche yang membuka kilang pertamanya di luar Eropah di Kedah pada tahun 2022.

“Syarikat-syarikat gergasi ini pun percaya kepada Kedah dan percaya kepada kerajaan PERIKATAN NASIONAL. Takkan orang Johor tidak percaya,” katanya.

Beliau turut membandingkan peningkatan hasil negeri Terengganu selepas ditadbir PERIKATAN NASIONAL apabila purata hasil negeri meningkat daripada sekitar RM200 juta kepada kira-kira RM454 juta.

Katanya, rakyat perlu melihat fakta dan pencapaian sebenar, bukan hanya mempercayai dakwaan politik pihak lawan.

Dalam masa sama, beliau berkata PERIKATAN NASIONAL khususnya PAS mempunyai rekod pentadbiran yang bersih walaupun mentadbir beberapa negeri dalam tempoh panjang.

“Kelantan sudah ditadbir lebih 30 tahun, namun tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang didakwa, disabitkan atau dibicarakan dalam kes rasuah ataupun salah guna kuasa.

“Itu yang kita boleh banggakan. Kita tidak hanya beretorik mengenai integriti tetapi membuktikannya melalui pentadbiran yang bersih,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera muda memperhebat usaha menyampaikan fakta mengenai pencapaian ekonomi, pengurusan kewangan negeri, peningkatan hasil negeri, pelaburan, perpaduan kaum serta pentadbiran berteraskan agama yang dilaksanakan oleh kerajaan PERIKATAN NASIONAL.

“Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, berilah undi kepada PERIKATAN NASIONAL,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

- Advertisement -