
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan hampir RM800,000 sebagai sumbangan kecemerlangan kepada 1,494 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud, berkata setiap pelajar menerima RM500 sebagai penghargaan atas pencapaian akademik masing-masing.
Beliau berkata, jumlah penerima pada tahun ini meningkat berbanding 1,300 pelajar pada tahun lalu, sekali gus membuktikan prestasi pendidikan di Kelantan terus menunjukkan peningkatan.
“Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana pencapaian kecemerlangan pelajar dalam setiap peperiksaan semakin meningkat. Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Sebab itulah kita sanggup memperuntukkan dana yang besar bagi memastikan pembangunan pendidikan, termasuk sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), terus diperkasakan,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 di Dewan Tok Guru, Kompleks Kota Darulnaim.
Menurut beliau, kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf kejayaan pelajar cemerlang, malah terus menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu anak-anak Kelantan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Mohd Nassuruddin turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapa, khususnya generasi terdahulu yang sanggup menjual tanah demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.
“Mereka sedar betapa pentingnya pendidikan dan berharap anak-anak tidak lagi mengulangi kesusahan yang pernah mereka lalui.
“Saya juga berbangga kerana anak-anak Kelantan yang cemerlang kini berkhidmat di pelbagai negeri serta memegang jawatan penting sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, bagi membantu pelajar kurang berkemampuan menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan menerusi Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).
Katanya, pinjaman itu boleh ditukar kepada biasiswa sekiranya pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang di universiti.
Pada majlis sama, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Biji Wangsa, Tumpat, Siti Maisarah Yahya Lotfi, menerima pengiktirafan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan STPM 2025 Peringkat Kebangsaan, selain menerima cenderahati kecemerlangan daripada kerajaan negeri.
Pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan anak Kelantan untuk terus mencipta kejayaan di peringkat nasional hasil sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap sektor pendidikan.
Sejak 2016, kerajaan negeri telah menyalurkan RM9.59 juta kepada 19,183 pelajar menerusi program penghargaan kecemerlangan akademik.
Bagi kategori penerima cenderahati kecemerlangan peperiksaan 2025 mengikut kawasan Parlimen, Tumpat mencatat jumlah tertinggi dengan 179 pelajar, diikuti Kubang Kerian (162) dan Pasir Mas (155). – HARAKAHDAILY 26/6/2026











