Integriti, rekod baik Kerajaan Negeri PAS dipertaruh di Johor

- Advertisement -

MUAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyeru golongan muda di Johor menjadikan rekod pentadbiran negeri-negeri di bawah pemerintahan gabungan itu sebagai asas pertimbangan dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16 Johor).

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, hampir 50 peratus pengundi di Johor terdiri daripada anak muda, sekali gus menjadikan kelompok itu sebagai penentu utama kepada parti yang bakal mentadbir negeri berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, jentera PERIKATAN NASIONAL perlu memperhebatkan penyebaran fakta serta pencapaian kerajaan negeri yang diterajui gabungan itu agar rakyat khususnya generasi muda tidak terpengaruh dengan naratif negatif pihak lawan.

“Hari ini fokus kita adalah untuk memberikan mesej yang jelas kepada anak muda kerana hampir 50 peratus pengundi di Johor ialah anak muda. Undi anak muda ini boleh menjadi penentu kepada siapakah yang akan memerintah negeri Johor.

“Sebab itu kita gunakan pelbagai platform termasuk siaran langsung bagi memberikan penerangan yang jelas mengapa mereka mesti mengundi PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pentas Anak Muda dan Himpunan Jentera Pemuda di Laman Muafakat, Simpang Jeram, di sini malam tadi.

Menurutnya, keterujaan penyokong BN yang menghampiri kawasan penyokong PERIKATAN NASIONAL menggambarkan bahawa sebahagian daripada mereka cenderung menyokong PERIKATAN NASIONAL walaupun memegang bendera parti lain, manakala kehadiran penyokong PH ketika itu tidak begitu ramai.

Menyentuh mengenai DAP katanya, parti itu tidak harus dipandang terlalu kuat kerana pernah gagal memenangi walau satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah walaupun sebelum ini yakin akan mencapai kemenangan.

Ustaz Hanif turut menegaskan bahawa antara maklumat penting yang perlu disampaikan kepada anak muda ialah kejayaan pentadbiran kerajaan negeri di bawah PERIKATAN NASIONAL khususnya Kedah.

Menurutnya, kenyataan bahawa PAS atau PERIKATAN NASIONAL tidak mampu mentadbir sehingga menyebabkan negeri menjadi mundur adalah bercanggah dengan fakta sebenar.

Beliau berkata Kedah kini berjaya muncul sebagai negeri menerima pelaburan tertinggi di Malaysia selain mencatat peningkatan hasil negeri yang ketara.

Menurutnya, hasil negeri Kedah yang sekitar RM411 juta pada tahun 2015 meningkat kepada lebih RM800 juta pada tahun 2025.

Beliau turut menyebut Terengganu merekodkan hasil melebihi RM400 juta, manakala Kelantan pula membuktikan pentadbiran bersih apabila tiada seorang pun pemimpinnya ditangkap kerana terlibat dengan rasuah.

“Inilah yang anak-anak muda perlu sedar bahawa pemerintahan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional khususnya PAS memberikan perkhidmatan yang baik, bersih, amanah dan juga adil,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Hanif turut menjelaskan PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan calon di 11 kerusi DUN Johor dengan matlamat sekurang-kurangnya membentuk blok pengimbang yang berkesan dalam DUN.

Katanya, kehadiran wakil PERIKATAN NASIONAL penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik, pelaksanaan dasar-dasar Islam dapat diperkasakan dan tidak diganggu oleh DAP serta sekutunya.

Menjawab kritikan pihak tertentu yang mempersoalkan mengapa PERIKATAN NASIONAL tidak bertanding di semua kerusi, beliau berkata, strategi pilihan raya perlu dibuat secara bijaksana.

Menurutnya, jika benar DAP berani, parti itu juga sepatutnya bertanding di Kelantan atau Kedah.

Sebaliknya, PERIKATAN NASIONAL memilih untuk bertanding di kerusi yang melibatkan rakan sekutu DAP bagi memastikan kekalahan mereka sekali gus melemahkan PH secara keseluruhan.

Sehubungan itu, beliau menyeru jentera parti supaya terus menyebarkan rekod kejayaan pentadbiran negeri-negeri PERIKATAN NASIONAL seperti Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis kepada rakyat khususnya anak muda.

Katanya, kejayaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; serta pentadbiran negeri-negeri lain di bawah PERIKATAN NASIONAL menjadi bukti kemampuan gabungan itu mentadbir secara cekap, bersih dan berintegriti.

Beliau menegaskan maklumat tersebut perlu dimanfaatkan bagi meyakinkan pengundi muda agar memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL serta menolak PH pada PRN16 Johor. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

- Advertisement -