Agenda rakyat diperjuangkan Arshed Yahya

Arshed Yahya (tengah) calon rasmi PERIKATAN NASIONAL DUN Simpang Jeram.
- Advertisement -

MUAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertaruhkan Arshed Yahya @ Awang sebagai calon bagi kerusi N.13 Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 (PRN Johor).

- Advertisement -

Beliau sah bertanding dalam pertandingan empat penjuru selepas selesai proses penamaan calon hari ini, menentang penyandang kerusi daripada (PH), Nazri Abdul Rahman; calon (BN), Azman Ismail; serta calon MUDA, Anie Haziqah Shafii.

Kertas pencalonan Arshed dicadangkan oleh Ustaz Kamalulnizam Mohd. Suhut dan disokong oleh Shhari Ripin sebelum diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N. 13, Ustaz Raja Nur Izwan.

Turut mengiringi beliau sepanjang proses penamaan calon ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd. Mazri Yahya, bersama penyokong dan jentera PN yang hadir memberikan sokongan.

Dalam pada itu menurut Arshed, beliau bertekad membawa suara rakyat Simpang Jeram dengan memberi tumpuan kepada isu kebajikan, kesejahteraan masyarakat serta pembangunan ekonomi setempat sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada PRN Johor kali ini.

Menurutnya, komitmen tersebut lahir daripada pengalaman membesar dalam kalangan masyarakat Simpang Jeram yang menjadikan beliau lebih memahami denyut nadi, harapan dan keperluan penduduk setempat.

Sebagai calon PERIKATAN NASIONAL bagi N.13 DUN Simpang Jeram, beliau komited membawa kepimpinan yang bersih, mesra rakyat dan sentiasa turun padang bukan sekadar ketika musim pilihan raya, sebaliknya sepanjang masa demi memastikan setiap permasalahan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya membawa amanah rakyat dan memastikan kepentingan penduduk Simpang Jeram terus diperjuangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2026

- Advertisement -