
KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan undang-undang ke atas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah yang disifatkan sebagai suatu bentuk pendakwaan terpilih terhadap pimpinan pembangkang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa parti itu memandang serius pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan terhadap beliau yang juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Kedah.
Jelasnya, trend pendakwaan yang digerakkan secara tergesa-gesa terhadap figura politik blok pembangkang kini menjadi petunjuk jelas berlakunya ketidakadilan kosmetik dalam penguatkuasaan undang-undang negara.
“PAS secara konsisten mengecam sebarang tindakan pendakwaan terpilih seperti ini lebih-lebih lagi isu ditimbulkan oleh YB Dr Haim adalah berkaitan dengan akses kepada pendidikan dan beliau sendiri merupakan tokoh telah terlibat dalam bidang pendidikan sejak sekian lama.
“Trend mendakwa ahli politik pembangkang pada kadar yang segera dan cepat yang berterusan juga menjadi indikator bahawa ia benar-benar merupakan suatu pendakwaan terpilih.
“Amatlah menghairankan ramai ahli politik kerajaan yang lebih lantang menyentuh isu-isu sensitif termasuk 3R serta membuat kenyataan-kenyataan jelek melampau, tidak dikenakan sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pertuduhan terhadap Dr Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra ini difailkan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
HarakahDaily terdahulu melaporkan, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dihadapkan ke mahkamah ekoran kenyataan beliau yang secara berani membongkar serta mempersoalkan dasar dan ekosistem kemasukan pelajar ke universiti awam.
Di sebalik tindakan perundangan ini, Dr Haim Hilman dilaporkan tetap nekad, istiqamah dan tidak akan berhenti daripada terus menyuarakan kelantangan bagi menuntut hak serta akses universiti yang adil demi masa depan anak-anak golongan miskin di Malaysia.
Takiyuddin berkata, hujah yang disampaikan oleh Dr Haim Hilman dalam majlis yang dihadirinya pada pertengahan bulan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab membina sebagai kepimpinan pembangkang untuk menilai dasar kementerian.
Beliau turut mendesak agar ruang demokrasi dan hak menyuarakan pandangan yang termaktub di dalam undang-undang tertinggi negara tidak dicabuli sewenang-wenangnya.
“Ucapan YB Dr Haim dalam program pada 13 Jun 2026 lalu adalah bersifat menegur serta merupakan langkah semak dan imbang terhadap polisi kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi pada ketika ini secara berfakta dan tidak emosional.
“Justeru PAS dengan tegasnya menuntut hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh semua pihak,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 25/6/2026











