Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor antara 11 calon DUN

PAS Johor seru kawasan tidak bertanding bantu jentera 11 DUN bertanding

- Advertisement -

MUAR: PAS Johor menyeru seluruh kawasan yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor supaya membantu jentera di 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu atas nama PERIKATAN NASIONAL.

Pesuruhjaya PAS Johor, Tuan Guru Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, walaupun PAS bertanding di 11 DUN sahaja, beliau yakin jumlah itu mampu memberikan kemenangan yang lebih besar berbanding parti-parti lain dengan kerjasama semua pihak.

- Advertisement -

“Oleh itu kita berharap seluruh kawasan yang tidak ada pertandingan, maka hendaklah kita sama-sama membantu DUN-DUN yang kita tandingi seramai 11 DUN itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Calon PAS PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Laman Muafakat di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa, kekuatan kecil dari segi jumlah kerusi yang ditandingi mampu membawa kejayaan kepada PERIKATAN NASIONAL dan PAS.

“Saya yakin dan percaya walaupun PAS bertanding atas nama PERIKATAN NASIONAL hanya dalam 11, kita harap dengan sedikit kita bertanding, insya-Allah kita akan boleh menang lebih daripada parti-parti yang lain,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan PAS telah memilih calon terbaik daripada pelbagai lapisan, termasuk golongan muda, dengan sebahagian besar calon terdiri daripada generasi muda.

“Alhamdulillah kita telah pilih calon-calon yang terbaik dari seluruh lapisan golongan dan juga ada daripada kalangan pemuda, ada kalangan muslimat yang tua tak ada. Saya saja yang tua tuan-tuan,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa, gabungan tenaga muda dalam PAS akan membawa kejayaan cemerlang kepada parti dan PN.

Menurut beliau, PAS turut menerima sokongan baharu apabila seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Johor menyertai parti itu dan dicadangkan untuk bertanding di salah satu daripada 11 DUN berkenaan.

“Inilah semangat menunjukkan bahawa rakyat Johor dah mula beramai-ramai masuk ke dalam parti kita, Parti Islam Se-Malaysia,” ulasnya.

Beliau turut menyeru agar penyokong yang berada di kawasan tidak bertanding supaya membantu kawasan ditandingi demi memperkukuh kekuatan jentera.

“Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan membantu kamu dan akan mengukuhkan kedudukan kita,” ujarnya memetik maksud firman Allah sambil menyeru perpaduan dalam satu saf bagi mencapai kemenangan. – HARAKAHDAILY 25/6/2026

- Advertisement -