
ISLAMABAD: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan bahawa keupayaan peluru berpandu negara itu merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan Iran terus terpelihara daripada ancaman dan pencerobohan luar.
Menurut beliau, tanpa sistem pertahanan berasaskan peluru berpandu yang dimiliki Tehran ketika ini, Iran berkemungkinan berdepan nasib sama seperti Semenanjung Gaza sekiranya diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Ketika berucap dalam lawatan rasminya ke Pakistan pada Selasa, Pezeshkian berkata peluru berpandu yang dibangunkan Iran berfungsi sebagai benteng pertahanan yang menghalang sebarang tindakan ketenteraan terhadap Republik Islam itu.
“Jika Iran tidak memiliki peluru berpandu untuk mempertahankan diri, Israel dan Amerika Syarikat pasti akan menyerang negara ini seperti yang berlaku di Gaza tanpa menghiraukan golongan tua mahupun kanak-kanak,” katanya, lapor agensi berita Iran, Mehr.
Pezeshkian mengakhiri ucapannya dengan mengkritik negara-negara Barat atas piawaian berganda mereka dalam isu hak asasi manusia.
Beliau dalam nada tegas mengkritik pendirian Washington yang menurutnya sering menggunakan isu hak asasi manusia secara selektif.
Pezeshkian menyifatkan dakwaan AS sebagai juara hak asasi manusia sebagai satu bentuk kemunafikan dan melabelkannya sebagai ‘pembohongan besar’.
Beliau juga menegaskan bahawa Iran tidak akan sama sekali membuka ruang rundingan berkaitan keupayaan pertahanannya, termasuk program peluru berpandu yang dibangunkan negara itu.
“Kami tidak akan pernah berunding dengan sesiapa mengenai keupayaan pertahanan kami,” tegasnya.
Dalam pada itu, mewakili Iran, Pezeshkian menekankan kedalaman hubungan antara Tehran dan Islamabad, menggambarkan Pakistan sebagai lebih daripada sekadar negara jiran.
Menurutnya, hubungan antara Iran dan Pakistan telah lama dibina atas rasa hormat bersama, muhibah, dan kepercayaan sejarah, dan perkembangan terkini sekali lagi menunjukkan kekuatan hubungan tersebut.
Beliau seterusnya memuji peranan Pakistan dalam menyokong dialog, mengurangkan ketegangan, dan menggalakkan kestabilan serantau pada masa rantau ini menghadapi pelbagai cabaran.
“Pendekatan Islamabad mencerminkan visi yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh untuk hal ehwal serantau,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menegaskan bahawa program peluru berpandu Iran tidak pernah menjadi sebahagian daripada rundingan dan memorandum persefahaman negaranya menjadi perantara antara Iran dan AS.
Beliau menyatakan komen tersebut dalam satu mesyuarat dan sidang akhbar bersama berikutnya dengan delegasi Iran yang diketuai Pezehskian di Islamabad pada Selasa.
“Isu peluru berpandu balistik Iran tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, sama ada ia berada di meja rundingan, mahupun dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.
“Tidak ada persoalan mengenainya dan tidak ada keraguan mengenainya,” tegasnya.
Menurut beliau, pendekatan yang membenarkan sesetengah negara memiliki peluru berpandu balistik tetapi menafikan hak sama kepada Iran merupakan satu bentuk layanan tidak adil.
“Tidak boleh wujud dwistandard. Ada negara dibenarkan memiliki peluru berpandu balistik, tetapi Iran tidak. Pendekatan seperti ini tidak boleh diterima,” katanya.
Terdahulu, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan ribuan dron ke arah beberapa sasaran penempatan ketenteraan AS di negara-negara Teluk serta Israel sepanjang konflik yang tercetus selepas serangan bersama AS dan Tel Aviv terhadap Iran pada 28 Februari 2026.
Program peluru berpandu Iran mula dibangunkan ketika Perang Iran-Iraq pada era 1980-an sebagai usaha mengatasi kelemahan sistem pertahanan udara negara itu pada waktu berkenaan.
Sejak itu, Tehran terus meningkatkan keupayaan program tersebut, termasuk dari segi jarak operasi dan tahap ketepatan serangan.
Israel yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari Iran pula sejak sekian lama mendakwa program peluru berpandu republik Islam itu sebagai ancaman langsung kepada keselamatan negara berkenaan.
Sebelum konflik semasa tercetus, Washington dilaporkan berusaha memasukkan isu peluru berpandu balistik Iran serta sokongan Tehran terhadap kumpulan proksi bersenjata dalam rundingan berkaitan program nuklear negara itu.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump dilihat mula menunjukkan perubahan pendirian terhadap isu tersebut dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Ketika menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Perancis minggu lalu, Trump menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk menghalang Iran daripada memiliki keupayaan tertentu jika negara lain turut dibenarkan memilikinya.
“Tidak adil menghalang mereka mempunyai keupayaan sama, jika negara lain memilikinya,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai petanda bahawa Washington mungkin mengambil pendekatan lebih fleksibel terhadap isu peluru berpandu Iran berbanding pendirian tegas yang pernah diambil sebelum ini. – HARAKAHDAILY 24/6/2026











