
MUSCAT, Oman: Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf dan Menteri Luar, Abbas Araqchi, bertemu dengan Sultan Haitham bin Tariq dari Oman di Muscat untuk membincangkan perkembangan terkini dalam rundingan Iran-AS dan isu-isu berkaitan pengurusan Selat Hormuz.
Qalibaf, yang mengetuai delegasi rundingan Iran, dan Araqchi terbang ke Oman pada Selasa yang merupakan sebahagian daripada delegasi Iran yang dikenali sebagai ‘Minab 168’ susulan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) di Switzerland.
Delegasi itu tiba di Muscat lewat Isnin dan disambut di lapangan terbang oleh Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi, lapor Agensi Berita Oman (ONA)
Dalam pertemuan tersebut, Kesultanan Oman dan Republik Islam Iran telah mengeluarkan kenyataan bersama di mana Oman mengesahkan sokongannya terhadap Memorandum Persefahaman (Mou) ‘Islamabad’ yang ditandatangani antara AS dan Iran, menekankan kepentingan dialog dan penyelarasan yang berterusan untuk menyokong pelaksanaannya yang berjaya.
Menurut kenyataan itu, Kesultanan Oman dan Republik Islam Iran, sebagai dua negara pesisir yang bersempadan dengan Selat Hormuz, mengesahkan semula komitmen teguh mereka untuk memastikan laluan selamat melalui Selat dengan mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang antarabangsa yang berkaitan, sambil menekankan kedaulatan dan hak berdaulat mereka ke atas perairan wilayah masing-masing di Selat.
“Kedua-dua pihak juga membincangkan perkara berkaitan Selat mengikut peruntukan yang dinyatakan dalam Memorandum Persefahaman Islamabad,” merujuk kepada laporan ONA dalam catatan di akaun Xnya.
Tambah laporan itu, Kesultanan Oman dan Republik Islam Iran mengesahkan bahawa semua pengaturan berkaitan Selat Hormuz mesti menghormati sepenuhnya kedaulatan dan hak berdaulat kedua-dua negara Selat.
“Kedua-dua pihak memperbaharui komitmen teguh mereka untuk memelihara Selat Hormuz sebagai laluan maritim yang selamat dan terbuka untuk navigasi antarabangsa, dan menekankan pentingnya kerjasama berterusan untuk memperkukuh keselamatan maritim, melindungi kebebasan navigasi dan menegakkan kestabilan serantau,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2026











