
KOTA BHARU: BERSATU disaran bermuhasabah dan menilai kembali kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya masih mahu kekal sebagai komponen gabungan tersebut.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kebelakangan ini terdapat pihak yang begitu ghairah mentafsir Perlembagaan PN bagi mempertahankan kedudukan BERSATU dalam gabungan itu, namun persoalan lebih besar ialah sejauh mana parti berkenaan mematuhi semangat dan keputusan bersama yang menjadi asas penubuhan PN.
“Perlembagaan bukan sekadar dibaca pada huruf fasalnya, tetapi perlu difahami pada roh dan tujuan penubuhannya.
“Sebuah gabungan politik tidak akan dapat bertahan jika salah satu anggotanya berterusan bertindak bertentangan dengan keputusan bersama sehingga menjejaskan kestabilan dan kekuatan gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara isu yang menimbulkan persoalan terhadap disiplin BERSATU ialah tindakan yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Perlis sehingga tumbangnya Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, sedangkan kerajaan tersebut dibentuk atas mandat rakyat melalui kerjasama dalam PN.
Katanya lagi, tindakan menarik sokongan terhadap keputusan dan strategi PN di Negeri Sembilan turut memberi kesan kepada kesepaduan gabungan tersebut.
“Persoalannya, jika tindakan mensabotaj kerajaan dan keputusan bersama tidak dianggap sebagai pelanggaran disiplin, maka apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan disiplin dalam sebuah gabungan politik?
“Jika Fasal 15 memperuntukkan tindakan boleh diambil terhadap parti anggota yang bertindak bertentangan dengan kepentingan PN, maka tindakan yang melemahkan kerajaan PN, menggugat kestabilan pentadbiran PN dan menjejaskan keputusan bersama PN seharusnya dinilai secara serius,” hujah beliau.
Tambah Mohd Firdaus, PAS selama ini menunjukkan kesabaran yang tinggi demi menjaga kesatuan pembangkang, namun kesabaran tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kelemahan.
“Sebuah gabungan politik memerlukan kepercayaan, kesetiaan dan komitmen kepada keputusan bersama,” tegasnya.
“Jika sesebuah parti berterusan bertindak bercanggah dengan semangat kerjasama, mempertikaikan keputusan bersama serta menimbulkan ketidakstabilan dalam gabungan, maka adalah wajar Majlis Tertinggi dan Majlis Presiden PN menilai semula kedudukan parti tersebut demi menjaga masa depan gabungan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PN tidak boleh menjadi medan untuk menikmati manfaat gabungan ketika menguntungkan, tetapi pada masa sama bertindak melemahkan gabungan apabila kepentingan sendiri tidak dipenuhi.
“Jika masih ingin kekal dalam PN, tunjukkan komitmen kepada disiplin dan keputusan bersama. Jika tidak, maka langkah berundur secara terhormat atau tindakan tegas daripada PN adalah lebih baik daripada terus membiarkan konflik yang berpanjangan
“Kesetiaan kepada gabungan perlu diukur melalui tindakan dan bukannya sekadar tafsiran terhadap perlembagaan parti atau gabungan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2026











