
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri digesa mengambil tindakan segera mengharamkan penjualan vape susulan pendedahan mengenai penyalahgunaan produk itu sebagai medium pengedaran dan penggunaan dadah sintetik khususnya kalangan remaja dan belia.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, memandang serius amaran disuarakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai cecair vape dicampur bahan narkotik jenis New Psychoactive Substances (NPS).
Menurut beliau, perkembangan tersebut membuktikan isu vape tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah kesihatan awam atau tabiat merokok semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi ancaman terhadap keselamatan sosial dan masa depan generasi muda.
“Pendedahan bahawa cecair vape kini terdedah untuk dicampur dengan bahan narkotik jenis NPS membuktikan isu vape telah berkembang menjadi ancaman serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan sosial belia serta negara,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh lagi mengambil pendekatan bertangguh memandangkan risiko penyalahgunaan vape kini melibatkan unsur jenayah dan penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis, Johor dan Pahang telah mengambil langkah lebih proaktif dengan menyekat atau mengharamkan penjualan vape melalui kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan.
“Langkah tersebut menunjukkan tindakan pentadbiran boleh dilaksanakan sekiranya wujud iltizam politik yang ikhlas untuk melindungi rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, Selangor sering digambarkan sebagai negeri maju tidak seharusnya ketinggalan dalam usaha melindungi rakyat daripada ancaman vape yang semakin kompleks.
“Malah, beberapa pihak termasuk badan kesihatan, pertubuhan masyarakat serta institusi pendidikan telah berulang kali menggesa kawalan lebih ketat terhadap penjualan dan penggunaan produk berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata, kebimbangan masyarakat semakin memuncak apabila pihak berkuasa mendedahkan kewujudan sindiket yang dipercayai menggunakan cecair vape sebagai medium pengambilan bahan terlarang, sekali gus meningkatkan risiko penagihan dadah dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menyeru Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari serta EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri mengambil pendirian lebih berani dan tegas dalam menangani isu berkenaan.
“Kepentingan melindungi generasi muda daripada ancaman dadah sintetik mestilah mengatasi sebarang pertimbangan lain yang boleh menangguhkan tindakan sewajarnya,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, media sebelum ini melaporkan kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’ yang dikesan dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik bagi menghasilkan kesan khayal kepada pengguna.
Tan Sri Ayob Khan dilaporkan berkata, bahan berkenaan mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif yang boleh memberi kesan khayal melampau sehingga menjejaskan tingkah laku pengguna.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati penggunaan vape kini semakin tersasar daripada tujuan asal apabila disalahgunakan oleh sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa.
Isu vape terus menjadi perdebatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan kebimbangan terhadap kesan kesihatan, ketagihan nikotin dan risiko penyalahgunaannya sebagai medium pengambilan bahan terlarang.
Sehubungan itu, Faizzuddin berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan generasi muda tidak terus terdedah kepada risiko penyalahgunaan bahan terlarang melalui penggunaan vape yang semakin membimbangkan.
“Kerajaan Negeri Selangor perlu menunjukkan komitmen yang jelas dan tegas dalam melindungi rakyat, khususnya generasi muda daripada ancaman baharu yang semakin serius ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2026











