
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, rundingan yang sedang berlangsung ketika ini membabitkan penggunaan logo PN dan bukan perkara lain.
“Insya-Allah. Logo PN. Memang runding ni pasal logo PN, bukanlah pasal lain,” ujar beliau kepada pemberita di hadapan Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Mengulas kemungkinan penggunaan logo lain termasuk Barisan Nasional (BN), beliau yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan perkara itu tidak berbangkit.
Pada masa sama, Sanusi enggan mengulas kenyataan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berhubung penerimaan dua parti baharu dalam PN.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, perkara itu sudah diputuskan melalui mesyuarat dan undian.
“Yang itu saya tak ada ‘local standy’ untuk jawab sebab dah diputuskan dalam mesyuarat dengan undian. Takkan saya nak jawab pula kan noh.
“Saya tak mahulah tak mahu jawab apa-apa. itu terserah kepada pandangan dialah. Saya bab mesyuarat pembahagian kerusi saja. semua okey, ‘smooth’. To be continue tomorrow morning 10 o’clock please wait here,” jawabnya.
Ketika ditanya sama ada keputusan menerima dua parti berkenaan akan dikekalkan, beliau mengesahkan keputusan itu kekal.
Mengenai perkembangan rundingan pembahagian kerusi, Sanusi menjelaskan, proses itu membabitkan empat parti komponen dan berjalan lancar.
“Hari ini perundingan kerusi, pembahagian kerusi empat komponen berjalan dengan lancar semua, Alhamdulillah. ‘To be continue tomorrow’” katanya.
Beliau berkata, parti-parti yang terbabit termasuk dua parti baharu turut mengemukakan senarai kerusi masing-masing untuk dirundingkan.
“Kita kemuka ‘list’ masing-masinglah. Dia orang dah kemuka ‘list’ depa, kita rundinglah.
“Dia bagi ‘list’ kerusi yang dia orang teringinlah. Jadi rundinglah. Tugas saya berunding saja. Keputusan PN akan buat,” tegasnya.
Ditanya mengenai pengumuman calon, beliau memaklumkan, perkara itu akan dibuat selepas rundingan dimuktamadkan dan sebelum hari penamaan calon.
Sanusi turut menafikan berlaku sebarang pertikaian sepanjang rundingan pembahagian kerusi dan menyifatkan proses berkenaan berjalan dengan baik.
“Kita mai runding mana ada ‘wrestling’, tak ada. Saya punya rundingan ‘smooth’. Alhamdulillah. Terima kasih semua parti-parti yang terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2026











