
KOTA BHARU: Kejayaan sektor pelancongan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada pemain industri seperti hotel, pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan, peniaga dan komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, sinergi tersebut penting bagi memastikan pembangunan industri pelancongan Kelantan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Meraikan Transformasi dan Pembaharuan Hotel Perdana serta menerusi perkongsian di media sosial sempena pelancaran wajah baharu hotel berkenaan.
Menurutnya, pelancaran tersebut bukan sekadar memperkenalkan ruang yang diperbaharui atau kemudahan yang dinaik taraf, malah menjadi simbol keyakinan, komitmen dan pelaburan berterusan terhadap masa depan industri hospitaliti serta pelancongan negeri.
Beliau menyatakan bahawa Hotel Perdana merupakan antara mercu tanda yang sekian lama menyambut kehadiran pelawat ke Kota Bharu dan menjadi lokasi persidangan, majlis rasmi kerajaan, pertemuan korporat, majlis perkahwinan serta pelbagai acara yang menghimpunkan masyarakat dari dalam dan luar negara.
“Hotel Perdana merupakan contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam membangunkan ekonomi pelancongan negeri.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, saya merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemilik serta Attana Hotels & Resorts atas komitmen dan visi jangka panjang yang berjaya mengembalikan kedudukan Hotel Perdana sebagai antara hotel utama dan berprestij di Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, pelancong masa kini bukan lagi sekadar mencari tempat penginapan yang selesa, sebaliknya mahukan pengalaman yang autentik, mempunyai cerita tersendiri dan identiti yang membezakan sesuatu destinasi daripada tempat lain.
Beliau berkata, antara keunikan Hotel Perdana ialah identitinya yang kekal menonjolkan ciri-ciri negeri Kelantan tanpa meniru konsep hotel lain dalam melaksanakan transformasi.
Katanya, unsur seni bina, motif ukiran, penggunaan elemen tradisional, warna lembut serta sentuhan budaya tempatan terus dikekalkan dalam pembangunan semula hotel tersebut.
“Fasa pembangunannya membawa identiti tempatan, manakala ruang dalamannya mempamerkan kehalusan seni warisan. Motif ukiran dan dekorasinya pula mengangkat keunikan budaya Melayu Kelantan,” katanya.
Dalam masa sama beliau menyambut baik kerja naik taraf yang dilaksanakan sepanjang enam bulan lalu melibatkan 189 daripada keseluruhan 272 bilik, pembaharuan ruang lobi serta peningkatan kapasiti tempat duduk Cerana Restaurant daripada 180 kepada 300 orang.
Menurutnya, usaha tersebut membuktikan kesungguhan pihak pengurusan dalam meningkatkan pengalaman pelanggan sejajar dengan kehendak pelancongan masa kini.
“Namun yang lebih penting, transformasi ini tidak mengorbankan identiti Kelantan. Sebaliknya unsur budaya dan warisan terus dikekalkan serta diketengahkan dalam reka bentuk baharu.
“Inilah pendekatan yang amat kita hargai, maju tanpa kehilangan jati diri, berubah tanpa melupakan akal budi,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Hanizan Hood. – HARAKAHDAILY 23/6/2026











