PEJUANG diterima PN, mula kekuatan yang lebih besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir menegaskan, penyertaan partinya dalam Perikatan Nasional (PN) bukan sekadar kemasukan sebuah parti ke dalam gabungan politik.

- Advertisement -

Sebaliknya, beliau berkata, langkah itu adalah permulaan kepada penyatuan kekuatan yang lebih besar demi menyelamatkan negara daripada perpecahan, ketidakstabilan dan kegagalan kepimpinan yang semakin meresahkan rakyat.

“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menyatukan kekuatan umat dan membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan.

Mukhriz berkata demikian susulan keputusan Perikatan Nasional menerima PEJUANG sebagai salah sebuah parti komponen dalam gabungan berkenaan selain PCM dalam mesyuarat PN di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini,malam tadi.

“PEJUANG menyambut baik keputusan Perikatan Nasional menerima PEJUANG sebagai salah sebuah parti komponen dalam gabungan tersebut.

“PEJUANG percaya bahawa dalam keadaan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, sosial, keselamatan dan politik, keutamaan mesti diberikan kepada usaha memperkukuhkan penyatuan ummah.

“Serta membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan yang lebih berwibawa dan diyakini rakyat,” ulas beliau.

Menurutnya, penyertaan itu juga selaras dengan pendirian PEJUANG bahawa kepentingan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa mengatasi kepentingan parti dan individu.

“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan sebuah saf perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, PEJUANG akan terus berpegang teguh kepada prinsip integriti, keadilan, tadbir urus yang baik serta komitmen untuk memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 23/6/2026

- Advertisement -