Hindari arak: Puji sikap hormat Jordi terhadap Danish

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan pengurus pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, mengalihkan botol minuman beralkohol di podium Moto3 Grand Prix (GP) Czech dipuji sebagai contoh penghormatan terhadap prinsip Islam.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, tindakan pengurus yang bukan beragama Islam itu mampu mengundang rasa hormat daripada orang lain tanpa mengira latar belakang.

- Advertisement -

“Saya tertarik dengan tindakan pengurus Hakim Danish yang bukan beragama Islam, tetapi mengambil inisiatif mengalihkan arak di podium kerana memahami bahawa Islam melarang penglibatan dengan perkara berkaitan arak.

“Perkara ini mungkin nampak kecil pada pandangan sesetengah orang, tetapi sebenarnya besar nilainya. Ia menunjukkan bahawa apabila seseorang Muslim berpegang teguh dengan prinsip agamanya, orang lain juga akan belajar untuk menghormatinya,” katanya.

Menurut Hanif, kejayaan Hakim Danish bukan sahaja terserlah menerusi pencapaiannya di litar perlumbaan, malah turut membawa imej positif Islam kepada masyarakat antarabangsa.

“Hakim Danish bukan sahaja berjaya menaiki podium dan meraih kemenangan di litar, malah berjaya membawa imej Islam yang baik kepada dunia. Tanpa perlu banyak berbicara, akhlak dan prinsip yang ditunjukkan sudah menjadi satu bentuk dakwah yang sangat berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada aktif dalam bidang sukan, sebaliknya menggalakkan umat Islam menjadi individu yang kuat, cergas dan berdaya saing.

Katanya, kejayaan dalam apa jua bidang tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan prinsip agama semata mata untuk mengejar populariti atau kejayaan duniawi.

“Berjayalah setinggi mana sekalipun, bertandinglah sehingga ke peringkat dunia, namun jangan sesekali menggadaikan prinsip agama demi mengejar nama atau kejayaan.

“Manusia mungkin menghormati kita kerana kemenangan, tetapi mereka akan lebih menghormati kita apabila melihat kita tetap teguh dengan pegangan walaupun berada di puncak kejayaan.

“Menang di gelanggang itu satu kejayaan. Menang dengan prinsip dan akhlak itulah kemenangan yang sebenar,” tegasnya.

Hakim Danish, 18, mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai perlumbaan Moto3 GP Czech di Litar Brno, Ahad lalu, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas perlumbaan antarabangsa.

Kejayaan pelumba negara itu turut mencuri perhatian apabila Pengurus Pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Jordi Gatell, dilihat mengalihkan botol minuman beralkohol yang diletakkan di posisi Hakim Danish sebelum majlis penyampaian trofi berlangsung.

Tindakan tersebut dilakukan bagi memastikan tiada minuman beralkohol berada di tempat pelumba Muslim dari Malaysia itu berdiri, sekali gus menghormati sensitiviti agama dan prinsip yang dipegangnya.

Perkongsian rakaman insiden itu di media sosial mengundang pelbagai reaksi positif daripada warganet yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tanda penghormatan terhadap pegangan agama serta nilai profesionalisme dalam arena sukan antarabangsa. – HARAKAHDAILY 23/6/2026

- Advertisement -