
LIPIS: Kerajaan negeri tidak seharusnya membebankan rakyat dengan pelbagai bentuk cukai semata-mata untuk meningkatkan hasil negeri, kata Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Kelerstarian Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat , Dato’ Dr Azman Ibrahim.
Beliau berkata, Terengganu membuktikan sesebuah kerajaan masih mampu melaksanakan pembangunan serta menyediakan pelbagai kemudahan kebajikan tanpa mengenakan cukai pintu kepada rakyat.
“Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengenakan cukai pintu kepada rakyat. Namun, itu tidak bermakna Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kehilangan sumber pendapatan.
“Sebagai contoh, jika Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak mengutip cukai pintu, adakah ia akan kehilangan sumber pendapatan, tidak. Begitu juga Majlis Daerah Besut, tempat saya, bila tak ambil cukai pintu adakah dia hilang pendapatan, tidak. Yang sebenarnya, kerajaan negeri tolong bayar cukai pintu bagi pihak rakyat.
“Jika Majlis Daerah Besut (MDB) biasanya mengutip sekitar RM3 juta setahun melalui cukai pintu, kerajaan negeri akan ganti balik jumlah yang sama kepada MDB.
“Begitu juga jika MBKT memperoleh kira-kira RM10 juta setahun, kerajaan negeri akan menggantikan jumlah itu sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Lipis Kali Ke-58 di Dewan Abdullah Sani, Kompleks Al-Istiqamah, Kampung Berembang, di sini, kelmarin.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, pendekatan sama turut dilaksanakan menerusi kemudahan wad kelas tiga percuma kepada rakyat Terengganu di hospital kerajaan.
“Sebenarnya ia bukan percuma dalam erti kata yang sebenar. Hospital berada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya milik kerajaan negeri. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri tolong bayar bil rawatan rakyat.
“Pada setiap bulan, pihak hospital akan mengemukakan tuntutan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri akan membuat pembayaran mengikut jumlah yang dituntut,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan negeri bukan untuk menampilkan angka hasil yang tinggi, sebaliknya memastikan rakyat menerima manfaat secara langsung daripada dasar yang dilaksanakan.
“Biarlah hasil negeri kita kelihatan biasa-biasa saja, asalkan rakyat tidak terbeban. Mungkin perkara seperti ini nampak kecil, namun impaknya amat besar melekat di hati rakyat,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal berkata, pihaknya sedang mengumpul dana bagi menaik taraf Kompleks Al-Istiqamah yang sudah beroperasi selama sedekad.
Beliau berkata, PAS Kawasan Lipis menyasarkan kutipan RM50,000 dalam masa terdekat sebagai persediaan menjadi tuan rumah dua program besar peringkat negeri tidak lama lagi.
Pada majlis sama, Azman turut diberi penghormatan melancarkan ‘Tong Milo’ gergasi sebagai simbolik kempen kutipan dana pilihan raya dan gerak kerja PAS Kawasan Lipis.
Majlis disempurnakan di hadapan para perwakilan dan pemerhati MAT Kawasan Lipis disaksikan pimpinan PAS Pahang Barat serta wakil Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). – HARAKAHDAILY 22/6/2026











