
KUALA LUMPUR: Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar mempersoalkan logik yang digunakan sehingga laungan azan dan kewujudan sebuah rumah ibadat umat Islam dianggap mampu mencetuskan pertembungan budaya dan sensitiviti.
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam itu berkata demikian susulan desakan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim, supaya cadangan pembinaan Masjid Warisan di Jalan Davis, berhadapan dengan Menara TRX dibatalkan.
Desakan itu dibuat atas alasan kononnya pembinaan masjid berkenaan akan menimbulkan ketidakharmonian serta mengganggu aktiviti komersial dan hiburan.
“Adakah semua aktiviti di kawasan tersebut perlu dihentikan semasa sembahyang Jumaat dan apabila azan disiarkan pada masa hadapan?
“Mengapakah kita perlu mewujudkan sensitiviti yang boleh dijangka sedangkan pada masa ini tiada sebarang isu sensitif yang timbul? Cadangan yang tidak masuk akal ini mesti dibatalkan sama sekali,” desak Teng dalam media sosial miliknya.
Sehubungan itu Zainul Rijal menegaskan bahawa jika logik sedemikian diterima, ia membuka ruang untuk mana-mana rumah ibadat atau amalan keagamaan lain turut dianggap sebagai ancaman kepada kehidupan bandar moden.
“Kenyataan beliau (Teng) yang mempersoalkan sama ada aktiviti di kawasan tersebut perlu dihentikan apabila azan berkumandang jelas memperlihatkan ketidakfahaman.
“Malah (kenyataan itu) boleh ditafsirkan sebagai cubaan menimbulkan ketakutan dan sentimen negatif terhadap syiar Islam,” tempelak beliau dalam media sosial miliknya.
Menurut Zainul Rijal, desakan Teng agar cadangan pembinaan Masjid Warisan dibatalkan adalah kenyataan yang amat dikesali, tidak bertanggungjawab dan sarat dengan prejudis terhadap Islam serta institusi masjid.
Beliau berpandangan, adalah keterlaluan dan tidak masuk akal untuk menggambarkan sebuah masjid sebagai ancaman kepada keharmonian masyarakat.
“Azan telah berkumandang di negara ini sejak sebelum merdeka lagi dan tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan atau kehidupan masyarakat majmuk.
“Lebih membimbangkan, beliau seolah-olah menganggap bahawa sebuah metropolis bertaraf antarabangsa tidak sepatutnya mempunyai sebuah masjid ikonik di tengah-tengah pembangunan moden,” jelasnya.
Peguam itu juga berpendapat, pandangan sedemikian amat sempit dan bertentangan dengan realiti bandar-bandar utama dunia yang menampilkan rumah-rumah ibadat sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan mereka.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Kuala Lumpur harus menanggalkan identitinya semata-mata untuk memenuhi tafsiran sempit segelintir pihak mengenai konsep bandar antarabangsa.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dan syiar Islam sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
“Tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan pembinaan sebuah masjid yang sah di atas tanah yang diperuntukkan mengikut undang-undang semata-mata kerana kebimbangan yang dibina atas andaian dan prasangka.
“Kenyataan Datuk Teng Chang Khim ini juga menimbulkan persoalan sama ada beliau benar-benar menghormati semangat Perlembagaan dan prinsip saling menghormati dalam masyarakat majmuk,” tegasnya.
Beliau menyatakan, adalah amat malang apabila seorang tokoh politik veteran memilih untuk meniup sentimen yang boleh menimbulkan syak wasangka terhadap Islam.
Sedangkan menurutnya, Teng sepatutnya menjadi jambatan yang memperkukuhkan persefahaman antara kaum dan agama.
“Masjid Warisan bukan ancaman kepada keharmonian. Sebaliknya, kenyataan yang bersifat prejudis, provokatif dan membina ketakutan terhadap syiar Islam itulah yang sebenarnya berpotensi menggugat keharmonian negara.
“Oleh itu, Datuk Teng Chang Khim sewajarnya menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada umat Islam atas kenyataan yang tidak sensitif serta tidak selari dengan semangat perpaduan dan saling menghormati yang menjadi asas pembinaan negara ini.
“Timbul persoalan di sini siapakah sebenarnya yang cuba mengancam keharmonian pelbagai kaum di negara ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











