
BUERGENSTOCK, Switzerland: Amerika Syarikat (AS) menjangkakan rundingan dengan Iran akan diteruskan sepanjang malam di Switzerland ketika kedua-dua pihak berusaha mencari jalan untuk menamatkan konflik yang terus menggegarkan Timur Tengah dan menjejaskan ekonomi global.
Pusingan rundingan semasa bermula dalam suasana tegang apabila delegasi Republik Islam Iran bertindak meninggalkan sesi perbincangan pada Ahad sebagai reaksi terhadap ancaman Presiden AS, Donald Trump, yang mengugut untuk menyerang Iran berhubung sokongannya kepada Hizbullah Lubnan.
Bagaimanapun, seorang diplomat AS yang berada di lokasi rundingan di Switzerland memaklumkan kepada pemberita awal Isnin bahawa delegasi Iran masih terlibat dalam ‘perbincangan yang mantap mengenai semua elemen perjanjian nuklear’, lapor TRT World.
Menurut beliau, Iran turut memberikan penjelasan mengenai mesej yang disampaikan berhubung Selat Hormuz serta usaha membina mekanisme dekonflik bagi memastikan laluan strategik itu kekal dibuka sepenuhnya.
Rundingan tersebut bertujuan membuka ruang kepada tempoh 60 hari bagi menyelesaikan pelbagai isu yang telah membelenggu hubungan AS-Iran sejak beberapa dekad lalu.
Namun, usaha itu dibayangi perbezaan pendapat mengenai isu-isu utama selain ancaman pertempuran baharu di Lubnan angkara serangan tentera Zionis Israel, dengan Washington dan Tehran terus bertukar ancaman ketika rundingan berlangsung.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA sebelum ini melaporkan bahawa delegasi Republik Islam Iran meninggalkan bangunan rundingan selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Qatar yang bertindak sebagai salah satu pihak pengantara.
“Pada masa yang sama rundingan bermula di Switzerland, Donald Trump menerbitkan mesej di X di mana beliau mengulangi ancaman dan kenyataannya terhadap Iran,” menurut laporan itu.
Trump sebelum ini mengancam untuk menyerang Iran sekiranya Republik Islam itu tidak ‘segera menghentikan proksi mereka yang bergaji tinggi di Lubnan daripada menimbulkan masalah’.
Iran kemudian membalas amaran tersebut.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, angkatan tentera negaranya bersedia untuk memberikan tindak balas terhadap sebarang ancaman.
“Mereka (AS) lebih baik berhati-hati dengan kenyataan mereka; angkatan tentera kita bersedia untuk bertindak balas terhadapnya dengan cara yang berbeza.
“Tidak kira apa yang mereka katakan, kitalah yang bertindak,” tegasnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa tenteranya akan terus berada di selatan Lubnan ‘selagi perlu’ dan berikrar tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear.
Dalam perkembangan sama, penyiar rasmi Iran melaporkan bahawa program nuklear negara itu tidak dibincangkan semasa pusingan pertama rundingan yang berlangsung selama 80 minit pada Ahad.
Sebaliknya, perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) antara Tehran dan Washington serta perkembangan situasi di Lubnan.
Naib Presiden AS, JD Vance pula menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu ‘pertemuan bersejarah’.
Diapit oleh perunding AS, Jared Kushner dan Steve Witkoff di pusat peranginan mewah Burgenstock, Switzerland, beliau berkata persoalan utama kini ialah sejauh mana kedua-dua pihak mampu mencapai kemajuan bersama.
“Bolehkah kita membuka lembaran baharu? Bolehkah kita mengubah hubungan di Timur Tengah secara kekal?
“Atau adakah kita kembali melakukan sesuatu dengan cara lama, yang bukan pilihan kita, tetapi ia pastinya sesuatu yang boleh berlaku,” katanya.
Rundingan bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan selama beberapa bulan itu berlangsung ketika Iran sekali lagi menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu Israel ke atas Lubnan.
Sementara jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, adalah mustahil untuk memasuki fasa rundingan bagi mencapai perjanjian muktamad selagi peperangan di Lubnan masih berterusan.
Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai minggu ini antara Washington dan Tehran mengandungi peruntukan bagi menamatkan pertempuran di Lubnan antara Israel dan Hizbullah.
Bagaimanapun, pertempuran terus berulang di negara itu sehingga mendorong Iran mengumumkan bahawa ia akan menutup semula laluan perdagangan minyak dan gas penting tersebut selepas sebelum ini membukanya sebagai sebahagian daripada perjanjian berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan Tehran tidak akan melepaskan haknya untuk memperkayakan uranium walaupun beliau sekali lagi menafikan dakwaan bahawa negara itu berhasrat membangunkan senjata nuklear.
“Kami juga boleh menyatakan secara bertulis bahawa kami tidak berniat untuk membina bom,” katanya.
Pada masa sama, serangan Israel ke atas Lubnan terus mengancam usaha perdamaian yang sedang dijalankan.
Jumaat lalu, rundingan AS-Iran yang dijadualkan berlangsung terpaksa ditangguhkan selepas Israel melancarkan serangan maut di Lubnan.
Setakat ini, jumlah keseluruhan kematian akibat pertempuran di Lubnan angkara serangan tentera pengganas Israel telah melebihi 4,100 orang. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











