Tahfiz buktikan kehebatan dalam akademik, sukan

- Advertisement -

TEMERLOH: Penganjuran Program Mahrajan Ilmi Wa Riadhi (MAHIR) MANTAP 2026 membuktikan bahawa institusi tahfiz mampu melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam hafazan al-Quran, malah turut menyerlah dalam bidang akademik dan sukan.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Pahang, Ustaz Khairul Azmi Ismail berkata, program seumpama itu menjadi platform penting dalam memperkukuhkan ukhuwah antara institusi tahfiz di samping mencungkil bakat-bakat baharu yang bakal menjadi aset berharga kepada ummah pada masa hadapan.

Menurut beliau, generasi huffaz hari ini tidak boleh hanya tertumpu kepada hafazan al-Quran semata-mata, sebaliknya perlu dibangunkan secara menyeluruh meliputi aspek sahsiah, kepimpinan dan kecergasan fizikal.

“Institusi tahfiz memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi pelapis ummah yang seimbang serta mampu mendepani cabaran masa depan dengan berbekalkan ilmu, iman dan akhlak yang mantap.

“Gabungan empat elemen utama iaitu Ilmu, Iman, Amal dan Sukan mampu membentuk insan yang seimbang dari sudut rohani, intelektual dan jasmani, sekali gus melahirkan generasi huffaz yang berkualiti, berdaya saing serta mampu memimpin masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MAHIR MANTAP 2026 yang berlangsung di Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), di sini, kelmarin.

Program dwitahunan tersebut menghimpunkan pelajar daripada maahad-maahad tahfiz seluruh negeri yang dipilih mewakili institusi masing-masing untuk menyertai pertandingan Hafazan al-Quran, bola sepak dan bola jaring.

Dalam pertandingan hafazan al-Quran kategori lelaki Juzuk 1 hingga 10, Muhammad Solahuddin Anuar dari Maahad Tahfiz Darul Fikri (MTDF) muncul johan dengan markah 95 peratus.

Bagi kategori perempuan Juzuk 1 hingga 30 pula, Wafa Al Hana’ Ahmad Fahizme dari MTIS berjaya merangkul gelaran johan dengan markah 70 peratus.

Dalam acara bola sepak, Maahad Tahfiz Al Amin muncul juara, manakala Kompleks Tahfiz Al-Quran & Anak Yatim Al Qaradhawi (KOMTAQ) dan MTDF masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi acara bola jaring pula, KOMTAQ berjaya muncul juara, diikuti Al Abrar naib juara dan MTIS di tempat ketiga.

Pada majlis penutup, MTIS dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan MAHIR MANTAP 2026, diikuti KOMTAQ naib johan dan MTDF di tempat ketiga. – HARAKAHDAILY 22/6/2026

- Advertisement -