
KUALA LUMPUR: Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar muncul sebagai pemimpin dengan tahap sokongan tertinggi dalam kalangan tokoh yang mewakili tiga gabungan utama negara iaitu PN, PH dan BN, menurut kajian Merdeka Center.
Felo Future Research, Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, Dr Samsuri atau Dr Sam turut jauh mengatasi ‘net approval’ Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sekali gus memberikan mesej politik yang penting kepada PN.
Menurut beliau, dalam era politik moden, ukuran ‘net approval’ lebih bermakna berbanding kadar populariti semata-mata kerana ia mengambil kira bukan sahaja tahap sokongan, tetapi juga kadar penolakan terhadap seseorang pemimpin.
“Seorang pemimpin yang mempunyai sokongan tinggi tetapi kadar penolakan yang juga tinggi mungkin menghadapi kesukaran untuk menarik pengundi atas pagar ketika pilihan raya,”ulas beliau dalam satu kenyataan di sebuah akhbar tempatan.
Sebaliknya, Dr Sam jelas Afifi menunjukkan kombinasi lebih baik dengan tahap penerimaan yang tinggi serta kadar penolakan yang rendah.
Sekali gus jelas beliau, kombinasi itu memberi ruang lebih luas untuk menarik sokongan pengundi sederhana dan pengundi belum membuat keputusan.
Kajian Merdeka Center itu juga menurutnya menunjukkan, bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencatatkan ‘net approval’ tertinggi dalam kalangan responden Melayu.
Khairy Jamaluddin dedahnya mencatatkan ‘net approval’ sebanyak +36 mata, hasil daripada 62 peratus kepuasan berbanding 26 peratus tidak berpuas hati.
Namun menurut Afifi, Khairy Jamaluddin tidak memimpin mana-mana gabungan politik utama dan tidak mengetuai jentera pilihan raya yang mampu diterjemahkan secara langsung kepada kekuatan politik nasional.
“Apa yang lebih menarik ialah kedudukan Dr Sam (sebagai) Menteri Besar Terengganu itu merekodkan kadar kepuasan sebanyak 48 peratus dengan hanya 26 peratus tidak berpuas hati, memberikan beliau ‘net approval’ sebanyak +22 mata.
“Ini meletakkan beliau di tangga kedua keseluruhan dan jauh meninggalkan kebanyakan tokoh politik nasional yang lain,” dedah beliau.
Sebagai perbandingan terang Afifi, mantan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh ‘net approval’ +6 mata dengan 49 peratus kepuasan tetapi 43 peratus tidak berpuas hati.
Sementara itu menurutnya lagi, bekas pemimpin PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli mencatat ‘net approval’ -12 mata, manakala Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merekodkan ‘net approval’ paling rendah iaitu -29 mata.
Muhammad Afifi berkata, perbezaan itu penting kerana ia menunjukkan walaupun ada pemimpin yang mempunyai tahap sokongan hampir sama, kadar penolakan yang berbeza memberi kesan besar kepada ‘net approval’ keseluruhan.
“Apabila analisis dibuat berdasarkan kedudukan pemimpin utama gabungan politik negara, gambaran yang muncul adalah lebih signifikan,” ulasnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, dapatan kajian itu selari dengan beberapa kajian terdahulu oleh Future Research yang menunjukkan Dr Sam sering muncul sebagai antara tokoh dengan imej paling positif dalam kalangan pengundi Melayu dan pengundi muda.
Konsistensi dapatan itu, ulas beliau, memberi petunjuk bahawa ia bukan sekadar perubahan sentimen sementara, sebaliknya mencerminkan asas sokongan yang semakin kukuh terhadap Dr Sam sebagai pemimpin masa depan negara.
Menurut beliau lagi, dapatan tersebut hadir pada waktu penting ketika PN dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi bagi membincangkan hala tuju serta strategi menghadapi PRU16.
“Antara persoalan yang semakin mendapat perhatian ialah bentuk kepimpinan yang perlu ditampilkan oleh PN untuk berdepan kerajaan ‘perpaduan’ dan menarik keyakinan pengundi yang lebih luas,” jelasnya.
Dalam konteks itu, beliau berkata parti komponen seperti GERAKAN dan MIPP perlu menilai sentimen rakyat secara objektif sebelum menentukan pendekatan politik masing-masing.
“Persoalan yang bakal timbul bukan sekadar soal pembahagian kerusi atau strategi pilihan raya, tetapi juga mengenai parti manakah yang lebih sesuai untuk menerajui dan memimpin hala tuju PN pada fasa seterusnya,” tegasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa berdasarkan data semasa, tokoh paling menonjol dalam PN bukan daripada BERSATU, sebaliknya daripada PAS melalui Dr Sam dari segi ’net approval’.
Katanya, Dr Sam bukan sahaja mengatasi Muhyiddin Yassin, malah mendahului semua pemimpin utama gabungan politik negara yang masih aktif memegang jawatan penting.
Ini, jelas beliau, memberi gambaran bahawa PAS kini mempunyai aset politik yang berpotensi menjadi wajah paling berkesan untuk memperluaskan sokongan PN.
“Selama ini, BERSATU memainkan peranan dominan dalam membentuk naratif dan kepimpinan gabungan.
”Namun, perkembangan semasa menunjukkan PAS bukan lagi sekadar penyumbang terbesar dari segi kerusi.
“Tetapi juga mula memiliki tokoh yang mempunyai tahap penerimaan yang tinggi dalam kalangan pengundi Melayu,” ulasnya lagi.
Menurut Afifi, sebagai Menteri Besar Terengganu, Dr Sam turut dilihat membina reputasi sebagai pemimpin berorientasikan prestasi, teknokratik dan tidak terpalit dengan kontroversi politik nasional.
Tambah Afifi, latar belakang akademik serta pendekatan pentadbiran sederhana menjadikan Dr Sam lebih mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat berbanding tokoh politik lain yang sering dikaitkan dengan polemik partisan.
“Dr Sam lebih muda, mempunyai kadar penerimaan yang lebih tinggi, kadar penolakan yang lebih rendah serta imej yang lebih segar untuk dipasarkan kepada pengundi generasi bahar.
“Faktor-faktor ini menjadikan beliau calon yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai ‘poster boy’ PN dalam menghadapi PRU16,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, dalam persaingan tiga penjuru antara PH, BN dan PN, data menunjukkan PN mempunyai kelebihan apabila pemimpin utamanya mencatatkan ‘net approval’ positif tinggi berbanding pemimpin utama dua gabungan lain yang berada pada paras negatif.
“Politik pilihan raya akhirnya bukan sekadar soal siapa yang paling dikenali atau paling berpengalaman.
“Ia adalah soal siapa yang mempunyai potensi terbesar untuk menambah sokongan baharu dan mengurangkan kadar penolakan dalam kalangan pengundi,” hujahnya.
Berdasarkan ukuran itu, beliau berkata Dr Sam muncul sebagai pemimpin paling berpotensi dalam PN dan berkemungkinan menjadi faktor penentu masa depan gabungan tersebut.
“Sekiranya PN mahu tampil dengan naratif pembaharuan, kestabilan dan kemenangan menjelang PRU16, data yang ada hari ini menunjukkan bahawa taruhan paling logik dan paling berdaya saing ialah meletakkan Dr Sam sebagai wajah utama dan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











