
AMPANG JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih belum memberi maklum balas terhadap cadangan tapak alternatif bagi Pusat Kitar Semula di Kampung Perwira Jaya, walaupun lebih 10 hari dikemukakan.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya mencadangkan tapak baharu di Pandan Indah Commercial Park.
“Kami telah menghantar cadangan untuk tapak alternatif iaitu di Pandan Indah Commercial Park kerana tapak asal di dewan terbuka MPAJ Kampung Perwira Jaya (sebagai pusat kitar semula) telah dibantah oleh penduduk,” ujar beliau.
Menurut beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, penduduk mahu dewan itu terus digunakan bagi kenduri kahwin dan program kemasyarakatan.
“Dewan itu akan sekarang digunakan untuk sebuah pusat kitar semula,” jelas beliau yang juga mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau memaklumkan, penduduk juga bimbang pusat itu yang terletak berhampiran kawasan perumahan boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka.
“Justeru pihak kami telah mencadangkan satu tapak alternatif yang lebih sesuai walau bagaimanapun kami masih menunggu respon MPAJ,” katanya.
Terdahulu, pada 24 April, Persatuan Penduduk Kampung Perwira Jaya menyerahkan memorandum membantah cadangan MPAJ menukar Dewan Kampung Perwira Jaya kepada pusat kitar semula, dengan alasan ia menjejaskan hak penduduk serta dibuat tanpa rundingan.
Penduduk menegaskan, dewan yang dibina untuk kegunaan komuniti sejak 2023 itu masih diperlukan dan sepatutnya ditambah baik, bukannya ditukar fungsi.
Mereka menggesa MPAJ membatalkan cadangan tersebut serta memberi amaran akan membawa bantahan ke peringkat lebih tinggi jika tuntutan tidak diendahkan. – HARAKAHDAILY 19/6/2026











