
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengingatkan agensi dan jabatan pertanian di bawah Kerajaan Persekutuan supaya sentiasa memaklumkan serta melibatkan kerajaan negeri dalam pelaksanaan program yang diadakan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, masih terdapat agensi dalam sektor pertanian yang bergerak sendiri tanpa penyelarasan dengan kerajaan negeri walaupun program tersebut dilaksanakan di Terengganu.
Menurutnya, kerajaan negeri setakat ini mengambil pendekatan menasihati agensi berkaitan agar dapat bekerjasama sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat yang sama.
“Biarlah kita bekerja dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama. Tak kisahlah siapa pun boss awak di Putrajaya kerana awak semua berpijak di bumi Terengganu.
“Kerajaan Negeri ingin membantu bagi memudahkan urusan. Kalau mereka yang memegang jawatan di atas inginkan keuntungan politik, silakan ambil. Saya tak berhajat dengan mileage politik murahan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dan agensi Persekutuan dalam sektor pertanian sebelum ini berjalan dengan baik dan saling membantu, namun keadaan itu mula berubah kebelakangan ini.
“Penggal lepas hubungan kita padu dalam satu team yang saling membantu. Situasi mula berubah dalam era madani,” ujarnya.
Menurut Azman, Terengganu mempunyai situasi yang agak unik apabila kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan kepada agensi dan jabatan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan pertanian dan perikanan.
Katanya, kerajaan negeri menyalurkan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang bagi dana Skim Pinjaman Modal Tani.
Selain itu, beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, Jabatan Perikanan Malaysia menerima lebih RM4 juta setahun untuk pelaksanaan program tukun, unjam, pelepasan benih ikan serta pelbagai bantuan kepada komuniti nelayan.
“Apabila kerajaan negeri nak ajak berbaik, bukannya kita nak minta duit. Kita ingin saling membantu dan memanfaatkan.
“Malah kerajaan negeri berusaha keras untuk mendapatkan peruntukan dari Kementerian bagi disalurkan kepada Agensi dan Jabatan Persekutuan di Terengganu. Hasilnya kita berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











