
TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah melancarkan Operasi Nasr (Kemenangan), menyerang dua pangkalan udara di wilayah Palestin yang dicerobohi.
Dalam satu kenyataan pada pagi Isnin, Jabatan Perhubungan Awam IRGC mengumumkan permulaan Operasi Nasr terhadap pangkalan udara Tel-Nof dan Nevatim yang dikuasai rejim Israel.
“Dengan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa dan memohon pertolongan daripada-Nya, beberapa minit yang lalu, para pejuang berani Pasukan Aeroangkasa IRGC memulakan Operasi Nasr dengan kod suci ‘Ya Haidar Karrar’ dan sebagai hadiah kepada para syuhada perang 12 hari dengan menyasarkan pusat-pusat penting pangkalan udara strategik Nevatim dan Tel-Nof,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, operasi yang dijalankan adalah sebagai tindak balas kepada pencerobohan peluru berpandu rejim Zionis yang membunuh kanak-kanak terhadap beberapa tapak radar di tiga bahagian negara Republik Islam itu.
“Kepantasan tindakan sebagai tindak balas kepada pencerobohan tentera Israel dan pengembangan bank sasaran adalah antara tindakan pasukan operasi pada peringkat ini,” tegas kenyataan tersebut.
IRGC juga menekankan bahawa semua unit tempur dan operasinya bersedia sepenuhnya untuk menjalankan operasi meluas di semua barisan hadapan dan telah menyediakan pelan tindakan untuk bertindak balas terhadap senario musuh.
Semenatara itu, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata Iran sekali lagi menunjukkan keunggulan ketenteraannya ke atas wilayah pendudukan melalui keupayaan peluru berpandu Pasukan Aeroangkasa IRGC.
Dalam catatan media sosial pada pagi Isnin, Jeneral Hossein Mohebbi berkata Iran telah membuktikan buat kesekian kalinya bahawa langit di atas wilayah pendudukan dan rantau ini berada di bawah kehendak Allah dan didominasi oleh peluru berpandu pemusnah Pasukan Aeroangkasa IRGC.
Kenyataannya dibuat selepas Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu terhadap sasaran tentera Israel susulan serangan rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut dan pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata pada 8 April.
Lewat Ahad, IRGC mengumumkan bahawa ia telah menyasarkan pangkalan udara Ramat David dengan peluru berpandu balistik, menggambarkan kemudahan itu sebagai sumber pencerobohan Israel terhadap Lubnan.
IRGC berkata, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan Israel yang membunuh dan menyebabkan orang awam kehilangan tempat tinggal di selatan Lubnan dan daerah Dahiyeh di Beirut.
Terdahulu, Kementerian Luar Iran menyifatkan serangan itu sebagai tindakan mempertahankan diri yang sah di bawah Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menekankan bahawa tindak balas Tehran datang selepas pelanggaran berulang Israel terhadap perjanjian gencatan senjata dan pencerobohan berterusan terhadap Lubnan.
Iran juga telah memberi amaran bahawa sebarang serangan Israel selanjutnya ke atas Lubnan atau kepentingan Iran akan disambut dengan tindak balas yang lebih luas dan lebih kuat. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











