
KUALA LUMPUR: Bapa kepada mangsa ditampar seorang bekas Senator menzahirkan kekecewaan terhadap pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana gagal bertindak sebagai pendamai yang adil dalam isu membabitkan anaknya.
Ir Ariffahmi Ab Rahman menyifatkan pihak universiti seolah-olah memihak kepada individu yang dituduh sejak awal lagi dan cuba menutup kes tersebut tanpa memberikan keadilan kepada mangsa.
Menurut beliau, tindakan berdiam diri sebelum ini adalah bagi memberi ruang kepada proses keadilan, namun beliau kini terpaksa bersuara bagi menyatakan fakta sebenar.
“Saya terpaksa bersuara untuk memberi fakta kes setelah lama bersabar dan memilih diam supaya keadilan dapat dizahirkan. Saya percaya anak saya Nik Alif Aiman bercakap benar kerana dia pemimpin pelajar berwibawa dan tidak pernah berbohong,” katanya.
Insiden ini membabitkan Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, yang merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM merangkap cucunda kepada Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Bentong mendakwa ditampar di pipi kiri oleh seorang bekas Ahli Dewan Negara yang juga penceramah jemputan dalam satu program kepimpinan di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Kejadian dikatakan berlaku selepas mangsa bertegur sapa dengan pemimpin politik tersebut yang kemudiannya mencetuskan dialog berkaitan perbezaan ideologi politik.
Nafi kaitan dengan politik
Ir Ariffahmi turut menjelaskan bahawa kelewatan laporan polis dibuat adalah disebabkan proses perbincangan dengan pihak UiTM dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agenda politik luar.
“Selain daripada cuti hari raya Aidil Adha, tempoh agak lama sebelum laporan polis dibuat kerana perbincangan dengan pihak UiTM supaya kes diselesaikan tanpa laporan polis. Ia tiada kaitan dgn PRK Johor atau urusan politik lain.
“Malangnya pihak UiTM sejak awal lagi kelihatan memihak kepada Dato’ Azhar dan cuba membuat kesimpulan tanpa bukti serta mahu perkara ini tidak diperbesarkan tanpa memberi keadilan kepada maruah anak saya yg tercalar,” tegas beliau.
Beliau menambah bahawa kes ini menjadi besar apabila pengurusan universiti gagal menjadi orang tengah yang baik dan dilihat seolah-olah memutuskan bahawa kejadian tamparan itu tidak berlaku tanpa bukti kukuh.
Tegas beliau, pihak universiti sepatutnya bertanggungjawab melindungi maruah serta keselamatan pemimpin pelajar memandangkan mereka adalah penganjur program berkenaan.
Susulan kegagalan mencapai penyelesaian adil, pihak keluarga menyatakan kesediaan untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan bagi memastikan segala fakta yang terselindung dapat didedahkan.
“Kes ini menjadi besar selepas pengurusan UiTM tidak menjadi orang tengah yang baik dan pendamai yang adil serta memutuskan untuk memihak seolah-olah Dato’ Azhar tidak melakukan tamparan muka tanpa bukti kukuh.
“UiTM sepatutnya bertanggungjawab sebagai penganjur program di Janda baik untuk melindungi maruah dan keselamatan pemimpin pelajar.
“Kami bersedia ke mahkamah dan akan memilih peguam terbaik untuk melondehkan semua fakta yang tertutup dan yakin Allah SWT bersama dengan kebenaran dan orang-orang yang sabar. Ya Allah.. zahirkanlah kebenaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











