Interim RM1.5b bukan penyelesaian muktamad hak Sabah

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

SANDAKAN: PAS Sabah mengambil maklum mengenai pemberian interim sebanyak RM1.5 bilion kepada negeri ini oleh Kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada usaha menangani keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

- Advertisement -

Setiausahanya, Sahar Abdul Majid berpandangan bahawa sebarang tambahan peruntukan kepada negeri adalah sesuatu yang wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ini, katanya kerana rakyat memerlukan pembangunan yang lebih pesat, khususnya dalam aspek infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik, kesihatan, pendidikan dan peluang ekonomi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa, jumlah RM1.5 bilion masih jauh daripada jumlah sebenar tuntutan hak kewangan Sabah berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, pemberian interim ini tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad terhadap tuntutan hak Sabah yang telah sekian lama diperjuangkan oleh pelbagai pihak tetapi perkara yang lebih utama adalah bagaimana dana tersebut akan diurus dan dibelanjakan

“Kita mahu setiap sen daripada dana yang diperuntukkan mestilah diurus berasaskan prinsip akauntabiliti, amanah, ketelusan dan kejujuran demi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya kepada Harakahdaily ketika ditanya berkaitan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai pemberian interim.

Pemberian tersebut diumumkan oleh Anwar ketika merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, Sabtu lepas.

Menurut Sahar, rakyat Sabah sudah terlalu lama berhadapan dengan pelbagai isu asas yang menjejaskan kehidupan harian mereka.

Justeru itu, katanya, dana tersebut tidak boleh dibazirkan melalui projek-projek yang tidak memberi impak signifikan kepada kesejahteraan rakyat atau terdedah kepada ketirisan dan salah guna kuasa.

Beliau menyeru agar kerajaan negeri memastikan mekanisme pemantauan yang berkesan diwujudkan bagi menjamin setiap peruntukan dibelanjakan mengikut keutamaan rakyat.

“Pada masa yang sama, amalan rasuah, penyelewengan, kronisme dan pembaziran mesti ditolak sama sekali dalam pengurusan dana awam.

“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, Sabah berhak menikmati hasil pembangunan yang setimpal,” ujarnya.

Katanya, hak tersebut hanya akan memberi makna sekiranya dana yang diterima diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, pengurangan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta pengukuhan ekonomi negeri secara mampan.

Beliau menegaskan, PAS Sabah akan terus menyokong usaha memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah MA63, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih yang menjadi hak negeri ini.

“Pada masa yang sama, kami akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang demi memastikan segala dana yang diperuntukkan kepada Sabah diurus secara berintegriti dan bebas daripada unsur rasuah.

“Apa yang lebih penting daripada jumlah yang diterima adalah sejauh mana dana tersebut diurus dengan amanah.

“RM1.5 bilion sekalipun tidak akan memberi manfaat jika berlaku ketirisan, tetapi jika diurus dengan jujur dan berintegriti, ia mampu membawa perubahan besar kepadakehidupan rakyat Sabah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/6/2026

- Advertisement -