Kos binaan naik: Jangan tunggu projek jadi ‘sakit’

PAS cadangkan lima tindakan segera kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan beberapa langkah dasar segera bagi menangani kesan peningkatan kos pembinaan yang semakin memberi tekanan kepada industri dan projek pembangunan negara.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Modal Insan dan Tenaga Profesional PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menjelaskan, antara cadangan utama ialah pengaktifan mekanisme Variation of Price (VOP) secara bersasar bagi projek yang terbukti terjejas akibat kenaikan luar biasa kos bahan binaan dan logistik.

- Advertisement -

“Pendekatan bersasar lebih praktikal berbanding menolak pelaksanaan VOP secara menyeluruh atas alasan implikasi fiskal semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau memaklumkan PAS turut mencadangkan perkongsian kos yang lebih telus dan berstruktur sekiranya kerajaan melaksanakan pendekatan ‘cost-sharing’ dengan kontraktor.

Menurut beliau, mekanisme tersebut perlu mempunyai formula yang jelas, menggunakan indeks kos rasmi serta dilaksanakan secara telus bagi mengelakkan pertikaian kontrak pada masa depan.

Dalam pada itu, Khairil Nizam menegaskan perlindungan kepada kontraktor kecil dan sederhana (PKS) perlu diberi perhatian kerana golongan itu paling terkesan dengan kenaikan kos serta bergantung kepada aliran tunai projek semasa.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempercepat pembayaran tuntutan kerja, memperluas skim pembiayaan mudah serta mengurangkan birokrasi pembayaran interim.

Beliau turut menekankan keperluan menangani impak kenaikan kos pembinaan terhadap harga rumah rakyat yang dijangka meningkat susulan tekanan kos semasa.

“Cadangan industri supaya kerajaan memberi insentif tertentu bagi pembinaan rumah wajar dipertimbangkan secara serius bagi mengelakkan tekanan kos terus dipindahkan kepada rakyat,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan penubuhan mekanisme pemantauan kos pembinaan nasional secara masa nyata melibatkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Perangkaan Malaysia, pihak industri dan kementerian berkaitan.

“Ini supaya intervensi dapat dibuat lebih awal sebelum projek menjadi ‘projek sakit’. PAS percaya sektor pembinaan merupakan salah satu pemacu utama ekonomi negara dan penyedia pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kerajaan tidak boleh sekadar menunggu keadaan global kembali stabil tanpa menyediakan mekanisme mitigasi yang mencukupi.

“Tindakan awal dan dasar yang realistik amat penting bagi memastikan projek pembangunan tidak tergendala, kos fiskal kerajaan tidak melonjak lebih tinggi pada masa depan dan rakyat tidak terus menanggung kenaikan harga hartanah serta kos sara hidup,” hujah beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, PAS mengambil serius laporan bahawa industri pembinaan negara kini terkesan peningkatan kos bahan binaan, logistik dan pengangkutan akibat ketidaktentuan rantaian bekalan global serta konflik geopolitik semasa.

Khairil berkata demikian merujuk laporan media yang menunjukkan kos pembinaan meningkat sehingga 15 peratus, sekali gus memberi tekanan kepada kontraktor, pemaju perumahan dan rantaian industri pembinaan negara.

Beliau menambah bahawa terdapat unjuran bahawa harga bahan binaan tertentu boleh meningkat sehingga 40 peratus sekiranya ketidaktentuan global berterusan.

“PAS berpandangan bahawa isu ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai cabaran sementara industri, sebaliknya berpotensi memberi kesan langsung kepada kos projek kerajaan, harga rumah rakyat, kelangsungan kontraktor tempatan serta momentum pertumbuhan ekonomi negara,” ulasnya.

Walaupun kerajaan menyatakan keadaan masih ‘terkawal’ dan belum memerlukan intervensi drastik, beliau mengulas bahawa realiti di lapangan menunjukkan ramai kontraktor kecil dan sederhana sedang berdepan tekanan aliran tunai yang semakin serius.

“PAS menghargai komitmen kerajaan untuk meneruskan projek pembangunan strategik. Namun demikian, pendekatan semasa dilihat masih terlalu berhati-hati sedangkan tekanan kos telah mula dirasai secara nyata oleh industri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026

- Advertisement -