
TEMERLOH: Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari meninjau lokasi kejadian lelaki yang dilaporkan lemas di Kampung Peragap seusai menunaikan solat Subuh di Masjid Kampung Ketam, dekat sini hari ini. (Foto atas)
“Seusai menunaikan solat Subuh di Masjid Kg Ketam, saya meninjau lokasi kejadian di Kg Peragap susulan kehilangan seorang sahabat kita yang dikhuatiri lemas,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya.
Menurutnya, bersama beliau di kawasan itu ialah ADUN Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di samping pihak bomba dan polis untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
“Sama-sama kita mendoakan agar urusan pencarian dipermudahkan serta mangsa segera ditemui,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau.
Beliau berharap semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi yang amat mencemaskan itu.
Sementara itu, media melaporkan seorang lelaki berusia 41 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap, pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi.
Susulan itu, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan utiliti Triton dan sebuah bot aluminium dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.02 pagi dan menjalankan operasi pencarian bersama polis.
Beliau dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan maklumat awal saksi, mangsa dipercayai berenang untuk menyeberangi sungai sebelum dihanyutkan arus dan dikhuatiri lemas.
Tambahnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin turut digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Operasi pencarian masih dijalankan dan setakat ini mangsa belum ditemukan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/6/2026











