Kebajikan bukan sekadar memberi, tetapi melahirkan penyumbang

Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

TEMERLOH: Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kebajikan dalam PAS bukan sekadar memberi bantuan kepada golongan memerlukan, sebaliknya bertujuan melahirkan lebih ramai individu yang bersedia menyumbang kepada masyarakat.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, nilai kebajikan perlu menjadi sebahagian daripada tarbiah dan budaya hidup seorang Muslim sehingga mampu membentuk masyarakat yang gemar menghulurkan bantuan berbanding hanya menunggu untuk menerima.

“Kebajikan kita bukan semata-mata memberi kepada orang, tetapi melatih dan melahirkan insan yang menyumbang kerana tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima,” katanya ketika merasmikan Himpunan Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Pahang di Kompleks Al Makmur Kerdau di sini, semalam. Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr. Rosni Adam.

Beliau berkata, Islam mengajar umatnya supaya terus melakukan kebajikan sama ada ketika senang mahupun susah serta tidak menjadikan kebimbangan terhadap riak sebagai alasan untuk meninggalkan amalan bersedekah.

Katanya, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan sumbangan dilakukan secara terbuka bagi menggalakkan orang ramai turut menyumbang, manakala sebahagian bantuan lain lebih sesuai dilakukan secara rahsia demi menjaga keikhlasan.

“Tidak melakukan kebajikan kerana takut riak juga satu bentuk riak. Yang penting ialah memastikan setiap amalan dilakukan kerana Allah SWT,” katanya.

Tambahnya, kebajikan merupakan antara tonggak penting perjuangan PAS kerana peranannya bukan sahaja membantu masyarakat, malah membuka ruang kepada usaha dakwah, tarbiah dan khidmat kemasyarakatan.

Menurutnya lagi, pendekatan kebajikan sering diterima baik oleh masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, sekali gus menjadi jambatan untuk mendekati rakyat.

Justeru, beliau menggalakkan setiap ahli PAS membudayakan amalan bersedekah secara konsisten serta membina sumber kewangan yang mampan bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan pada masa hadapan.

“Buatlah kebajikan di mana-mana sahaja, sama ada di kawasan yang kita bertanding atau tidak. Hasilnya mungkin mengambil masa bertahun-tahun, tetapi masyarakat akan tetap mengingati kebaikan yang telah dilakukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 2/6/2026

- Advertisement -