KL perlu jadi Kota Peradaban dan juga Kepimpinan Asia

Bukan Hab Hiburan Asia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ibu Negara sepatutnya dibangunkan sebagai kota ilmu, kewangan serta inovasi iaitu Kota Peradaban dan Kepimpinan Asia , bukannya dicadang menjadi ‘Hab Hiburan Asia’

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah menegaskan, kekuatan sesebuah negara besar tidak diukur melalui gemerlapan lampu pentas, tetapi melalui kekuatan ilmu, ekonomi, nilai dan pengaruh tamadunnya.

Beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Kuala Lumpur adalah simbol identiti kebangsaan dan wajah negara di mana perlu mencerminkan cita-cita masa depan bangsa, bukannya sekadar pusat hiburan.

“Persoalan yang lebih besar ialah adakah menjadikan hiburan sebagai identiti utama Kuala Lumpur merupakan aspirasi terbaik yang boleh ditawarkan kepada generasi akan datang?

“Tiada negara maju yang meletakkan hiburan sebagai identiti utama pembangunan negaranya. Hiburan mungkin menjadi salah satu sektor ekonomi, tetapi bukan asas kepada jenama dan masa depan sesebuah negara,” katanya dalam satu tulisan, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berhasrat merancakkan ekonomi Ibu Negara dengan memposisikan Kuala Lumpur sebagai pusat hiburan dan konsert serantau bagi menarik lebih ramai pelancong asing.

Cadangan tersebut mengundang pelbagai reaksi, terutamanya daripada golongan akademia dan pemimpin agama yang bimbang terhadap pergeseran identiti nasional serta implikasi sosial jangka panjang.

Sebelum ini, beberapa penganjuran konsert artis antarabangsa telah menerima kecaman mengenai keseimbangan antara keuntungan ekonomi dengan pemeliharaan nilai-nilai ketimuran dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

“Apabila dunia menyebut New York, mereka melihat pusat kewangan dunia melalui Wall Street. Apabila dunia menyebut London, mereka melihat pusat kewangan, pendidikan dan diplomasi antarabangsa.

“Apabila dunia menyebut Singapura, mereka melihat pusat perdagangan, logistik dan kewangan global. Apabila dunia menyebut Tokyo, mereka melihat pusat teknologi dan inovasi,” hujahnya.

Haim Hilman yang juga EXCO Industri dan Pelaburan Kedah menjelaskan, Kuala Lumpur mempunyai kedudukan strategik di tengah-tengah ASEAN untuk menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dan intelektual yang jauh lebih besar.

Beliau mempersoalkan keperluan mengejar industri hiburan sedangkan Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor kewangan Islam, penyelidikan, dan teknologi yang mampu menarik pelaburan jangka panjang.

“Kedudukan strategik Kuala Lumpur di tengah-tengah ASEAN dengan lebih 680 juta penduduk menjadikannya mempunyai peluang luar biasa untuk menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dan intelektual rantau ini.

“Mengapa kita mahu bersaing menjadi pusat hiburan sedangkan kita boleh menjadi pusat kewangan Islam terbesar dunia? Mengapa kita mahu dikenali kerana konsert sedangkan kita boleh dikenali kerana universiti, penyelidikan dan inovasi?

“Negara yang berjaya sentiasa membina nilai tambah yang tinggi kepada ekonominya. Ilmu, teknologi dan kewangan menghasilkan kekayaan yang jauh lebih lestari berbanding hiburan,” jelas beliau.

Risiko budaya hedonisme

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi, pembangunan yang terlalu berorientasikan hiburan membawa risiko implikasi sosial seperti peningkatan budaya hedonisme, penyalahgunaan dadah, dan gejala sosial yang lain.

Beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menegaskan kemajuan sebenar harus mengikut acuan sendiri tanpa mengorbankan nilai ketimuran, agama dan budaya keluarga.

“Peningkatan budaya hedonisme, gaya hidup berlebihan, penyalahgunaan dadah, perjudian, alkohol dan gejala sosial sering menjadi cabaran kepada bandar-bandar yang terlalu bergantung kepada industri hiburan sebagai pemacu utama ekonomi.

“Malaysia mempunyai identiti tersendiri yang dibina atas nilai ketimuran, agama, keluarga dan budaya masyarakat majmuk yang saling menghormati,” tambahnya.

Dr Haim Hilman mencadangkan lima teras utama untuk masa depan Kuala Lumpur iaitu sebagai Pusat Kewangan Asia dengan memperkasakan ekosistem kewangan Islam global dan fintech.

Juga Pusat Ilmu Asia iaitu dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Knowledge Capital of Asia’ di mana menarik sarjana serta penyelidik dunia, serta sebagai Pusat Teknologi dan AI iaitu dengan menarik syarikat kecerdasan buatan, pusat data, dan semikonduktor global.

Selain sebagai Pusat Diplomasi dan Keamanan iaitu menjadi lokasi utama rundingan keamanan dan dialog antarabangsa, serta Kota Peradaban Islam Moden iaitu dengan menjadi pusat pemikiran Islam kontemporari dan ekonomi halal dunia.

Beliau menegaskan bahawa bangsa besar tidak dikenang kerana konsert dianjurkan, tetapi kerana tamadun yang dibina serta sumbangannya kepada manusia sejagat. – HARAKAHDAILY 1/6/2026

- Advertisement -

- Advertisement -