Ibadah korban YAMCS harungi Laut Andaman santuni Muslim Myanmar

- Advertisement -

MYANMAR: Misi ibadah korban bagi tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan di Selatan Myanmar menerusi usaha kemanusiaan yang digerakkan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor.

Misi tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan bantuan kemanusiaan yang menjadi fokus Yayasan Amal Malaysia dalam membantu masyarakat Islam memerlukan di dalam dan luar negara.

Pelaksanaan ibadah korban ini memberi peluang kepada masyarakat setempat yang hidup dalam keadaan serba kekurangan untuk menikmati bekalan daging korban sempena sambutan Aidiladha.

Agihan yang dilakukan bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi simbol ukhuwah dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib saudara seagama di rantau tersebut.

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, Mohd Nizam Idris berkata, program korban luar negara terus mendapat sambutan baik daripada para penyumbang yang ingin berkongsi rezeki dengan komuniti memerlukan.

Katanya, misi ini juga membuktikan komitmen berterusan Yayasan Amal Malaysia dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemanusiaan merentasi sempadan Negara.

Menurut beliau, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang kebajikan, dakwah dan kemanusiaan, Yayasan Amal Malaysia telah melaksanakan pelbagai misi bantuan di beberapa negara menempuh cabaran kemiskinan, konflik dan bencana.

“Program korban di Selatan Myanmar ini diharap dapat meringankan beban penduduk setempat serta mengeratkan hubungan persaudaraan Islam sejagat dengan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor,” katanya.

Katanya, semangat kebersamaan penyumbang dan sukarelawan melalui pengorbanan yang ditunjukkan menjadi bukti bahawa nilai kemanusiaan sentiasa merentasi sempadan bangsa dan negara.

Tema Yayasan Amal Malaysia “Berkhidmat Untuk Kemanusiaan dan Beramal Kerana Allah” terus menjadi pegangan dalam setiap gerak kerja dilaksanakan demi membantu golongan yang memerlukan di seluruh dunia.

Semangat pengorbanan sempena Aidiladha bukan sekadar diterjemahkan melalui penyembelihan haiwan korban, bahkan melibatkan pengorbanan masa, tenaga, kewangan dan kasih sayang demi membantu insan memerlukan.

Bagi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, erti korban sangat luas yakni bukan sahaja kepada pasangan atau keluarga, malah lebih besar ialah cinta kepada agama, bangsa, negara dan yang paling utama cinta kepada Allah SWT.

Melaksanakan ibadah korban pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah menjadi antara tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT di mana kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencari reda-Nya.

Demi cinta sanggup rentasi Laut Andaman

Atas dasar itu, YAMCS sanggup merentasi Laut Andaman bagi menyampaikan amanah para peserta korban kepada golongan asnaf dan masyarakat di Selatan Myanmar yang jarang menikmati hidangan daging lembu dan kambing.

Perjalanan misi korban itu bukan mudah apabila rombongan terpaksa menempuh perjalanan hampir sehari untuk tiba di lokasi korban.

Delegasi YAMCS bergerak kira-kira lima jam dari Sungai Besar, Selangor menuju Bukit Kayu Hitam sebelum meneruskan perjalanan selama sembilan jam ke Ranong, Thailand.

Dari Ranong, perjalanan diteruskan dengan menaiki bot selama 45 minit merentasi Laut Andaman menuju Myanmar sebelum menaiki kenderaan tuttut selama 40 minit untuk tiba di Kampung Teluk Cina Sungai Duo, iaitu kawasan pedalaman di Selatan Myanmar.

Misi permulaan 7 lembu, 5 kambing

Dalam program tersebut, Ahli Jawatankuasa YAMCS, Ustaz Muhammad Labib Abd Jalil telah menyembelih tujuh lembu dan seekor kambing dengan disaksikan penduduk tempatan yang turut mengalunkan laungan takbir Aidiladha.

Manakala empat ekor kambing korban pula disembelih oleh Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias sebelum diagihkan kepada penduduk kampung dan golongan asnaf.

Program korban antarabangsa itu menjadi simbol kesungguhan YAMCS dalam meneruskan agenda kebajikan dan kemanusiaan merentasi sempadan negara demi memastikan nikmat Aidiladha dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Semangat pengorbanan inilah yang terus menyatukan masyarakat dalam berkongsi rezeki, menyuburkan kasih sayang dan memperkukuh ukhuwah sesama insan tanpa mengira bangsa dan negara.

Program korban ini dijangka menjadi tradisi tahunan pada Hari Raya Haji 2027 dan seterusnya, sebagai komitmen berterusan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor terhadap komuniti di kawasan tersebut.

Komuniti Islam minoriti perlukan sokongan

Sungai Duo terletak di wilayah Selatan Myanmar didiami oleh masyarakat pelbagai etnik di mana komuniti Islam merupakan golongan minoriti yang telah menetap sejak beberapa generasi dan hidup dalam suasana harmoni bersama masyarakat setempat.

Majoriti penduduk Islam di kawasan tersebut bergantung kepada sektor perikanan, pertanian kecil dan pekerjaan harian sebagai sumber pendapatan.

Walaupun mempunyai beberapa surau dan pusat pengajian agama tradisional, mereka masih berdepan kekurangan bahan pendidikan Islam, kemudahan pembelajaran serta bantuan kebajikan.

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor sebelum ini telah melakukan Ziarah Mahabbah bukan sahaja membawa bantuan fizikal, malah menyuntik semangat baharu kepada masyarakat Islam setempat untuk terus mempertahankan identiti, pendidikan dan kehidupan beragama mereka.

Memperkukuh ukhuwah merentasi sempadan

Program Ziarah Mahabbah 2025 membuktikan bahawa semangat persaudaraan Islam merentasi sempadan negara.

Misi ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan komuniti Muslim di Selatan Myanmar, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama kemanusiaan pada masa hadapan.

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor berharap lebih ramai pihak, sama ada individu, syarikat mahupun badan korporat, tampil menyokong usaha kebajikan dan pembangunan ummah yang dilaksanakan di kawasan-kawasan yang memerlukan.

Membantu mereka bukan sekadar memberi sumbangan, tetapi menghidupkan nilai kasih sayang, persaudaraan dan tanggungjawab sesama umat Islam. Segala saluran bantuan boleh hubungi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, 010-514 6790 atau 03-5524 2100. – HARAKAHDAILY 1/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -